Keningau: Pasukan bomba menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap hampir setengah jam dalam kereta Perodua Alza bapanya di Kampung Pamalan, Jalan Comunication, di sini, petang tadi.
Difahamkan, Kejadian itu disedari oleh kakak mangsa selepas menyedari adiknya berusia setahun tiada di dalam rumah.
Bapa mangsa kemudian memeriksa di dalam kereta yang parkir di depan rumah dan mendapati mangsa berada di dalam kenderaan dengan keadaan berpeluh.
Ahli keluarga mangsa kemudian segera menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau untuk bantuan menyelamat.
Ketua BBP Keningau, Sharudy Delamin berkata, lima anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 5.25 petang.
Katanya, operasi mengeluarkan mangsa segera dijalankan dengan anggota bomba menggunakan peralatan khas.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada ibu bapa mangsa.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 5.42 petang,” katanya.
-Deasoka