Roland Chia dilantik Ketua Penaja Sayap Bersekutu BERSATU Sabah

Roland Chia dilantik Ketua Penaja Sayap Bersekutu BERSATU Sabah

Kota Kinabalu: Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Dr Roland Chia Ming Shen dilantik sebagai Ketua Penaja Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah.

Pelantikan itu berkuatkuasa 14 Oktober lalu dan diumumkan oleh Ketua Sayap Bersekutu BERSATU Pusat, Datuk Seri Santhara Kumar.

Hajiji menyaksikan penyerahan surat pelantikan dari Santhara kepada Roland Chia.

BERSATU sebelum ini telah mewujudkan sayap parti untuk anggota bukan bumiputera dan bukan Melayu, yang dikenali sebagai ahli bersekutu pada Persidangan Agung Tahunan parti itu pada November tahun lalu.

Ketua Menteri merangkap Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau amat menghargai minat dan sokongan padu ahli bersekutu kepada parti.

Beliau berkata, kehadiran mereka dalam BERSATU menunjukkan parti itu diterima dan mendapat sokongan kuat bukan sahaja daripada masyarakat bumiputera tetapi juga bukan bumiputera di Sabah.

Hajiji menyaksikan penyerahan surat pelantikan dari Santhara kepada Charles O Pang.

“Saya mengalu-alukan semua daripada golongan bukan bumiputera di Sabah untuk menyertai Sayap Bersekutu kita ini dan bersama-sama kita bekerja untuk kesejahteraan rakyat dan membawa lebih banyak kemajuan pembangunan kepada negeri ini,” katanya semasa kunjungan hormat yang dilakukan Santhara dan Roland Chia di kediaman rasminya di Sri Gaya, di sini, hari ini.

Santhara yang juga Ahli Parliamen Segamat merangkap Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dilantik sebagai Ketua Sayap Bersekutu BERSATU yang pertama berkuatkuasa pada 29 September lalu.

Sementara itu, Roland Chia turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penaja Sayap Bersekutu BERSATU Sabah.

Jawatankuasa Penaja Sayap Bersekutu BERSATU Sabah terdiri daripada pemimpin politik veteran dan pemuda daripada kalangan profesional dan komuniti peniaga.

Jawatankuasa itu dibarisi oleh Datuk Charles O Pang Su Pin sebagai Naib Ketua; Julian Lai Tze Cheng sebagai Penolong Setiausaha; Lai Kim Ming sebagai Penolong Bendahari dan Lim Ting Khai sebagai Ketua Penerangan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|