Perkhidmatan bas-elektrik akan beroperasi dalam masa terdekat – QSB

Perkhidmatan bas-elektrik akan beroperasi dalam masa terdekat – QSB

Kota Kinabalu: Qhazanah Sabah Bhd (QSB), cabang pelaburan strategik kerajaan negeri sedang dalam peringkat akhir untuk operasi percubaan perkhidmatan bas elektrik (e-bus) yang pertama di ibu negeri.

Ketua Pegawai Komunikasi QSB, Muhammad Khairulnizam Hasnan, berkata pihaknya juga sedang memuktamadkan laluan bagi perkhidmatan bas berkenaan.

“Ada beberapa perkara lain lagi yang masih perlu diselesaikan termasuk dengan pelbagai pihak berkuasa sebelum kita dapat memulakan perkhidmatan percubaan.

“Kita memang bersemangat untuk mula mengoperasikan perkhidmatan ini dan maklum balas yang diterima menunjukkan warga bandar raya juga berminat untuk merasai sendiri apa itu e-bus,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, QSB mengambil inisiatif memperkenalkan e-bus sebagai sebahagian daripada sumbangannya ke arah memperbaiki sistem pengangkutan awam di Kota Kinabalu.

Beliau juga berkata, e-bus sesuai dilaksanakan kerana mesra alam sekitar selain mengambil kira penggunaan kenderaan yang dipacu tenaga elektrik semakin mendapat tempat di seluruh dunia.

Atas sebab itu juga, katanya QSB mencadangkan perkhidmatan transit rapid (RTS) menggunakan ‘skytrain’ membabitkan laluan sepanjang 25.5 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) dam Alamesra.

“Ini adalah input kita ke arah mentransformasikan perkhidmatan pengangkutan awam di Kota Kinabalu untuk manfaat Sabah secara keseluruhan.

“Kita sedar ini adalah usaha jangka panjang dan masih banyak yang perlu dilakukan. Ini berusha untuk memastikan ia menjadi kenyataan,” katanya.

Pada 29 November lalu, QSB melalui anak syarikatnya, WHSB Ventures Sdn Bhd (WVSB) memeterai memorandum persefahaman (MoU) denganVizinone Construction Sdn Bhd, Sycal Skycity Sdn Bhd and Guangcai China (M) Sdn Bhd untuk melaksanakan projek bernilai berbilion ringgit itu termasuk pembangunan hartanah bercampur di taoak seluas 6.4 hektar di Tanjung Lipat, dekat sini.

WVSB memaklumkan kemudian bahawa MoU itu disasar untuk mewujudkan secara rasmi kerjasama tanpa ikatan dan kerjasama berkaitan pelaksanaan projek sehingga selesai rundingan akhir untuk persetujuan rasmi di antara pihak yang terbabit.

Katanya, cadangan projek itu bagaimanapun masih di peringkat awal.

“Semua masih di peringkat penerokaan dalam kalangan pihak yang menandatangani MoU berkenaan,” katanya.

Mengenai input kerajaan dalam cadangan projek berkenaan, katanya ia lebih kepada perolehan tanah, manakala dana datang daripada pelbagai pelabur.

“Seperti projek lain yang membabitkan negeri, wakil pelbafai pihak berkuasa dan pemegang taruh akan terbabit dalam proses membuat keputusan bagi memastikan kepentingan Sabah terpelihara,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|