RMKe-12 tumpu negeri kurang maju, khususnya Sabah dan Sarawak

RMKe-12 tumpu negeri kurang maju, khususnya Sabah dan Sarawak

Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini sebagai komitmen kerajaan kepada negeri kurang maju, terutamanya Sabah dan Sarawak.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata jaminan Perdana Menteri untuk menyelesaikan tuntutan tertunggak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut menunjukkan kerajaan Pusat komited mengatasi isu pembangunan dan keperluan asas yang dihadapi kedua-dua negeri itu.

“Ucapan yang komprehensif dan padat itu dirumuskan dengan baik oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, yang mana tumpuan lebih diberikan kepada negeri-negeri yang kurang maju,” katanya.

Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata demikian mengulas pembentangan RMKe-12 oleh Perdana Menteri di Parlimen, hari ini.

Katanya, dana pembangunan yang diperuntukkan kepada negeri yang kurang maju terutama Sabah dan Sarawak, amat dialu-alukan.

“Tidak pernah dalam Rancangan Malaysia yang sebelumnya memberikan tumpuan seperti itu kepada Sabah dan Sarawak serta MA63.

“Isu-isu MA63 adalah antara fokus dalam ucapan Perdana Menteri dan beliau turut mengatakan akan terlibat dalam memantau segala pelan pelaksanaan di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata, Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) akan segera menubuhkan unit pemantauan bersama dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi memastikan pelan pelaksanaan infrastruktur dilaksanakan selaras dengan matlamat pembangunan MA63.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|