Sambut baik tumpuan kepada golongan warga emas, OKU dan wanita

Sambut baik tumpuan kepada golongan warga emas, OKU dan wanita

Kota Kinabalu: Usaha kerajaan pusat memberi tumpuan kepada golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan wanita disambut baik Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

Menterinya, Shahelmey Yahya berkata, golongan sasar yang termasuk di bawah bidang kuasa kementeriannya itu turut tersenarai dalam RMK-12 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’.

Katanya, sistem sokongan dan program yang bakal diwujudkan itu amat baik dan perlu sejajar dengan jangkaan Malaysia akan ke arah Negara Tua menjelang 2030 serta jumlah pendaftaran OKU yang direkodkan semakin bertambah.

“Kita menyambut baik pembentangan RMK-12. Selaku Menteri Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah, golongan sasar kementerian seperti warga emas, OKU, ibu tunggal juga turut disentuh dalam RMK-12.

“Perancangan kerajaan pusat untuk memperbanyakkan sistem sokongan kepada warga emas, adalah selari dengan jangkaan Malaysia akan menjadi sebuah negara tua menjelang tahun 2030 nanti apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia berusia 60 tahun ke atas,” katanya ketika mengulas pembentangan RMKe-12 oleh Perdana Menteri di Parlimen, hari ini.

Shahelmey berkata, begitu juga dengan pendaftaran OKU yang meningkat dan usaha memperkasakan program berkaitan golongan itu terutamanya dalam program keushawanan, karnival kerjaya juga diperkasakan.

“Begitu juga pembentangan RMK-12 ini yang terus memberi penekanan kepada peranan wanita dalam sektor ekonomi dan proses membuat keputusan,” katanya.

Shahelmey yang juga Exco Kesihatan Negeri Sabah berkata, perkhidmatan kesihatan akan lebih efisien dengan perancangan Kerajaan Pusat dalam RMK-12 untuk membina lebih banyak Klinik Kesihatan di negeri ini.

“Dengan perlaksanaan pembinaan klinik kesihatan yang lebih di negeri ini, maka perkhidmatan penjagaan kesihatan negeri Sabah akan dapat dipertingkatkan.

“Saya berharap, usaha kemakmuran bersama itu akan dapat dicapai menjelang 2030,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|