Pemuda UMNO turun padang bantu penduduk Kampung Sugud

Pemuda UMNO turun padang bantu penduduk Kampung Sugud

Penampang: Pergerakan Pemuda UMNO Sabah turun padang membantu membersihkan dewan dan rumah penduduk Kampung Sugud, di sini, kelmarin yang dilanda banjir dan tanah runtuh, dalam kejadian Rabu lalu.

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain berkata, beliau bersama-sama Pemuda UMNO Penampang dan Kota Kinabalu serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) hadir ke kampung berkenaan untuk membantu mereka yang terjejas.

Katanya, ia bertujuan untuk meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung penduduk kampung berkenaan selepas pasca banjir.

“Kita memahami kesulitan yang terpaksa dihadapi penduduk di kampung ini yang bukan saja berdepan ancaman keselamatan tetapi juga mengalami kerugian harta benda akibat daripada bencana ini.

“Disamping membantu membersihkan rumah dan dewan yang diselaputi lumpur, kita turut mengagihkan keperluan asas termasuk bakul makanan,” katanya ketika ditemui.

Turut hadir, Ketua Bahagian UMNO Penampang Datuk Mohd Hasnol Ayub dan Ketua Wanita UMNO Penampang Noraini Idris.

Abdul Aziz berkata, kerja-kerja pembersihan selepas pasca banjir ini perlu dilakukan kerana hampir keseluruhan rumah-rumah penduduk di kampung berkenaan dipenuhi lumpur akibat banjir yang berlaku minggu lalu.

“Kita amat berterima kasih kepada pihak yang sudi tampil untuk membantu membersihkan rumah penduduk.

“Begitu juga dengan Majlis Daerah Penampang yang membantu dengan menyediakan lori tangki bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Deasoka.com mendapati, kebanyakan rumah penduduk bukan saja diselaputi lumpur malah harta benda termasuk kenderaan milik penduduk turut rosak ditenggelami banjir lumpur.

Malah ada juga jalan raya yang terputus disebabkan longgokkan tanah dan pokok tumbang sehingga menyukarkan bantuan untuk disampaikan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|