RM24 juta disalur untuk pembangunan Kota Belud

RM24 juta disalur untuk pembangunan Kota Belud

Kota Belud: Kerajaan negeri dan persekutuan pada tahun ini menyalurkan kira-kira RM25 juta bagi melaksanakan projek pembangunan dan kemudahan asas untuk manfaat rakyat di daerah ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata melalui Bajet 2021 kerajaan negeri, sebanyak RM17.07 juta diperuntukkan kepada Pejabat Daerah sebagai sebahagian pelan untuk mencapai Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, kerajaan persekutuan pula menyalurkan RM7.9 juta kepada Pejabat Daerah.

“Kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk manfaat rakyat di dearah ini,” katanya dalam ucapan perasmian Tamu Besar Kota Belud di Dewan Tun Said, di sini, hari ini.

Teks ucapannya disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said.

Hajiji berkata, kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut memberikan peruntukan khas RM6.5 juta pada tahun ini untuk kerja menaik taraf kawasan bulatan Lebak Moyoh yang sering dibanjiri.

Bulatan berkenaan terletak di tengah-tengah laluan utama menghubungkan ibu negeri dengan kawasan utara Sabah.

“Kerja menaik taraf ketika ini sudah mencapai 64 peratus. Saya yakin setelah siap nanti, pengguna jalan raya akan lebih selesa kerana tidak lagi berdepan situasi banjir apabila hujan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan turut meluluskan pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo bagi laluan dari Pituru ke Rampayan sepanjang 32.2 kilometer.

Katanya, Pituru disambungkan dengan Serusup di Tuaran membabitkan laluan sepanjang 20.7 kilometer yang dijangka dilaksanakan mulai bulan depan.

Beliau berkata, kerajaan turut melaksanakan kerja pembaikan dan membina 23 daripada 47 sekolah daif di Kota Belud.

Pada masa sama, katanya kerajaan juga mengambil berat nasib usahawan pelancongan tempatan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Kota Belud menjadi destinasi yang digemari pelancong dan antara tarikan utamanya ialah pelancongan luar bandar berasaskan komuniti di Kadamaian yang diinisiatifkan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) pada 2014.

“Kerajaan akan sentiasa menyokong dan menyediakan bantuan agar sektor pelancongan akan terus maju ke hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji mengucapkan tahniah kepada Pejabat Daerah Kota Belud atas pelancaran Pelan Strategik Daerah Kota Belud 2020-2030.

Katanya pelan berkenaan menjadi panduan untuk semua rancangan pembangunan dan infrastruktur bagi meningkatkan tahap sosio ekonomi dan kesejahteraan rakyat di daerah ini selaras dengan aspirasi SMJ.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|