ARMADA Tuaran siap sedia tarik anak muda hadapi PRU

ARMADA Tuaran siap sedia tarik anak muda hadapi PRU

Tuaran: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Tuaran sudah bersedia menarik sokongan golongan muda untuk misi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ketuanya, Mohd Ghazali Hajiji, berkata usaha itu dilaksanakan bersama ARMADA negeri sejajar dengan penambahan pengundi anak muda, khususnya di Tuaran.

“Kita telah melakukan pelbagai aktiviti dan program dari awal tahun sampai sekarang dan momentum ini tidak akan berhenti sampailah kita menghadapi PRU yang akan datang.

“Persiapan yang ARMADA Bersatu telah lakukan adalah seperti mendekati anak muda melalui pelbagai program dan melihat sosio ekonomi mereka.

“Dalam kita menghadapi pandemik Covid-19 ini, ARMADA Tuaran bergerak ke seluruh Parlimen Tuaran untuk memberikan bantuan, kebajikan dan banyak lagi aktiviti yang telah dilakukan,” katanya kepada pemberita pada Persidangan ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tuaran, di sini, hari ini.

Persidangan itu disempurnakan Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Tuaran, Datuk Abdul Kassim Razali.

Ghazali berkata, ARMADA Tuaran melaksanakan pelbagai inisiatif membantu rakyat, khususnya golongan muda termasuk mengagihkan bakul makanan kepada mereka yang terjejas.

“Pasca pandemik Covid-19 ini, ramai anak muda yang terkesan, ada yang dibuang kerja dan ada yang menganggur. Kita bantu melalui program seperti menyediakan latihan dan kita memberikan sedikit bantuan dari segi kewangan untuk mereka memulakan perniagaan.

“Segala aktiviti aktiviti yang kami lakukan ada dimuat naik dalam ‘page’ Armada Bersatu Tuaran dan ‘page’ saya sendiri Ghazali Hajiji. Di sana kita dapat lihat sepanjang pandemik ini kami tidak lekang dengan aktiviti kalau orang cakap, satu minggu tu, setiap minggu ada saja aktiviti kami lakukan.

“Kita membantu mana-mana yang terkesan teruk, kerana kita faham juga pandemik ini dengan PKP lagi ada yang dibuang kerja, ada yang kerja pun gaji mungkin dibayar separuh. Jadi kami anak muda, faham dengan situasi tersebut,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ghazali berkata ARMADA Tuaran sama-sama berikrar dan beriltizam untuk sentiasa berdiri teguh bersama pemimpin parti terutama untuk menjuarai hati dan minda anak-anak muda.

Tegasnya, undi anak muda amat signifikan dalam meneruskan perjuangan parti.

“Undi Anak Muda untuk Armada, untuk BERSATU. Tidak perlu menoleh ke belakang, terus bergerak bersama, membina kesatuan dan akhirnya mencipta kejayaan.

“Kita perlu akui bahawa pilihan raya pasti akan menyusul nanti, jadi jangan sudah terhantuk baru terngadah. Bijak ‘sediakan payung sebelum hujan’ agar kita tidak ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata, BERSATU mengakui dan menerima hakikat bahawa Perikatan Nasional (PN) tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun jika PRN itu menunjukkan ‘trend’ peningkatan undi calon PN yang berjaya mengurangkan majoriti undi parti lain.

Katanya, ia adalah petanda yang amat jelas bahawa PN yang ditunjangi BERSATU semakin diterima rakyat walaupun masih baharu dalam kancah politik tanah air.

“Usah tunduk melihat kekalahan, bingkas bangkit mencipta kemenangan. Kita jadikan PRN Melaka sebagai medan melihat kekurangan untuk kita mencongak langkah memperbaiki segala kelemahan.

“Bangun mendakap sinar kejayaan dalam pilihan raya akan datang. Ayuh pejuang Armada sekalian, bangkit bersama kita robohkan benteng kekalahan ini untuk kita maju menggapai kemenangan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|