Pengusaha pelancongan desa mahu Sabah New Deal dilanjutkan

Pengusaha pelancongan desa mahu Sabah New Deal dilanjutkan

Kota Kinabalu: Pemain industri pelancongan luar bandar mahu peruntukan khas Sabah New Deal (SND) bagi sektor pelancongan dilanjutkan lagi pada tahun depan memandangkan masih ramai memerlukan sokongan kewangan untuk membantu menaiktaraf kemudahan mereka.

Harapan itu disuarakan kepada Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, ketika lawatan beliau ke daerah Kota Marudu dan Pitas untuk meninjau status penambahbaikan fasiliti di bawah SND, baru-baru ini.

Joniston yang juga pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), berkata bantuan kewangan khas itu memberi manfaat kepada kira-kira 500 pengusaha pelancongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Beliau yakin kerajaan negeri akan terus memberi penekanan kepada pelancongan, terutama sektor pelancongan luar bandar, dalam pembentangan bajet negeri 2022 pada 3 Disember depan.

“Saya harap apabila Ketua Menteri membentangkan bajet negeri pada 3 Disember ini, akan ada peruntukan seumpama ini dan jumlahnya ditambah lagi.

“Masih terdapat ramai pengusaha yang memerlukan bantuan kewangan untuk membina kemudahan asas dan bagi pihak pengusaha pelancongan luar bandar, kita berharap Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan akan memberikan peruntukan lebih besar berbanding RM10 juta pada tahun,” katanya.

Sejak pandemik Covid-19 melanda, ramai pengusaha pelancongan desa kehilangan sumber pendapatan untuk mengekalkan kemudahan yang sedia ada di kawasan pelancongan masing-masing.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta di bawah Sabah New Deal untuk membantu pemain pelancongan yang terjejas, dengan setiap penerima diberi RM20,000.

Pengagihan geran itu diselaraskan oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

Walaupun ramai yang mendapat manfaat daripada geran khas itu, ia masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan yang digunakan untuk kerja-kerja pembaikan dan penaiktarafan kemudahan asas.

Antara lokasi yang dilawati Joniston baru-baru ini ialah Marudu Bay Homestay, Pusat Pelancongan D’Lutong Ria Pantai Ria, Sarangheayo-Sarayo Camping Ground, dan Walai Ondoton Pitas Homestay.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|