Polis buru lelaki larikan mesin tunai

Polis buru lelaki larikan mesin tunai

Beluran: Polis memburu seorang lelaki selepas dikesan melarikan mesin daftar tunai (cash register) di sebuah pasar raya di Batu 4, Telupid, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, suspek seorang diri menggunakan kereta jenis Proton Saga warna kelabu memberhentikan kereta di hadapan kedai berkenaan.

Suspek kemudian masuk ke dalam premis sebelum melarikan bersama cash register menuju ke Jalan Telupid – Sandakan.

Video kejadian itu turut tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, pemeriksaan mendapati ketika kejadian tiada orang berada di kawasan kaunter sebelum suspek mengangkat mesin daftar tunai dan terus melarikan diri.

“Kejadian berlaku dengan pantas dan suspek melarikan diri dengan menggunakan kereta Proton Saga 4238 namun nombor pendaftaran gagal dikenal pasti.

“Jumlah kerugian dianggarkan RM1,600 dan polis kita giat mengesan suspek terbabit,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mohon orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkan kepada balai – balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan curi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|