MOTAC diminta siasat manipulasi harga pakej pelancongan di Semporna

MOTAC diminta siasat manipulasi harga pakej pelancongan di Semporna

Kota Kinabalu: Penguatkuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Sabah diminta supaya membuat siasatan berhubung aduan manipulasi harga pakej pelancongan oleh ejen pelancongan yang tidak berdaftar di Semporna.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata beliau memandang serius perkara itu dan mahu pihak berwajib segera mengambil tindakan.

“Langkah ini perlu sebelum perkara berkenaan mendatangkan masalah besar kepada industri pelancongan di daerah itu,” katanya.

Kenyataan beliau menyusul berikutan laporan oleh Semporna Profesional Divers Association (SPDA) baru-baru ini, mengenai ejen pelancongan tidak berdaftar menurunkan harga sehingga separuh daripada sepatutnya.

Jafry berkata, sikap tidak bertanggungjawab itu menyebabkan kerugian kepada pengusaha pelancongan yang berdaftar kerana pelancong lebih memilih untuk menggunakan khidmat ejen yang tidak berdaftar disebabkan pakej yang lebih murah.

Namun, beliau menjelaskan, ia bukan semata-mata memberi kerugian kepada ejen lain tetapi juga melibatkan keselamatan pelancong itu sendiri.

“Ia berikutan ejen tidak berdaftar ini tidak mempunyai kemahiran khususnya cara menyelamat sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua ejen pelancongan berdaftar agar mengekalkan harga pakej percutian dan tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga ketika pelancongan domestik sedang berkembang semula.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|