RM20 juta Insentif Harga Getah tahun depan

RM20 juta Insentif Harga Getah tahun depan

Tuaran: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi pembayaran Insentif Harga Getah dalam Belanjawan Saba 2022 untuk membantu pekebun kecil dan penoreh getah di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata melalui insentif itu pekebun kecil akan diberi tambahan harga getah sebanyak RM0.25 sekilogram bagi getah kentalan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah di Tuaran.

Pada masa sama, katanya Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) akan menyumbangkan subsidi sebanyak RM0.05 bagi sekilogram getah kentalan menjadikan jumlah tambahan harga bagi sekilogram getah kentalan ialah RM0.30 sekilogram pada tahun depan.

Katanya, melalui Belanjawan Sabah 2022, LIGS diperuntukkan sebanyak RM5.23 juta bagi perbelanjaan pembangunan, selain terus menerima geran bantuan kerajaan sebanyak RM11 juta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menunjukkan isyarat bagus kepada penerima Bantuan Musim Tengkujuh di Tuaran.

“LIGS juga akan meneruskan pembangunan kawasan ladang melalui Program High Impact Project (HIP) Tanam Baru dan Tanam Semula Getah Secara Berkelompok yang melibatkan 2,333 pekebun kecil dan terus melaksanakan program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) kepada pekebun kecil getah.

“Program itu membabitkan empat bidang usaha iaitu tanaman halia, nanas MD2, pisang nipah dan penternakan ikan talapia,” katanya pada Majlis Pelancaran Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) di Dewan Persatuan Rumpun Bajau SAMA Sabah, Kampung Lok Batik, di sini, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan jemputan lain bergambar bersama penerima Bantuan Musim Tengkujuh di Tuaran.

Hajiji berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa peka dan prihatin terhadap masalah yang dihadapi pekebun kecil dan penoreh getah di negeri ini.

Katanya, kerajaan sentiasa mencari jalan untuk membantu, terutama ketika negara masih bergelut dengan masalah Covid-19 yang menyebabkan golongan berkenaan turut menerima kesan akibat
pandemik.

Menyedari dan memahami situasi sukar ini, beliau berkata kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai bantuan termasuk Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 1.0 hingga 3.0 secara one-off yang mencecah bayaran lebih RM353 juta selain pemberian bakul makanan kepada semua rakyat yang terjejas termasuk pekebun kecil getah, bermula sejak akhir tahun lalu.

Jelasnya, selain Covid-19, pekebun kecil juga terpaksa menghadapi keadaan cuaca yang tidak menentu terutamanya pada setiap akhir tahun sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

“Justeru kerajaan persekutuan telah meluluskan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada seluruh pekebun kecil getah di negara ini khasnya di Sabah sebagai usaha dan sokongan untuk meringankan beban mereka.

“Kerajaan negeri melalui LIGS akan mengagih-agihkan BMT yang berjumlah RM51,793,800 kepada 86,323 pekebun kecil di seluruh negeri dengan bantuan
RM600 bagi setiap pekebun kecil.

“Dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri dan persekutuan, saya menyeru pekebun kecil untuk terus meningkatkan produktiviti pengeluaran getah mereka.

“Penyaluran BMT ini adalah salah satu usaha dan keprihatinan kerajaan untuk membantu pekebun kecil dan penoreh getah yang terjejas akibat musim tengkujuh selain akibat penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Hajiji juga mengingatkan pengurusan dan semua lapisan kakitangan LIGS agar terus berusaha meningkatkan lagi kualiti serta keberkesanan perkhidmatan kepada pekebun kecil getah terutama dalam aspek membangunkan milik pekebun kecil sehingga kepada pemprosesan dan pemasaran getah sehingga ke pasaran antarabangsa.

Katanya, LIGS juga perlu memikirkan kaedah baharu lain yang boleh membantu pekebun kecil dan penoreh getah di negeri ini.

“Melalui pengurusan yang baik, saya percaya LIGS mampu membantu untuk memasarkan atau menjual hasil getah mereka,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|