RM2.49 juta bantuan program Quick Win KEMAS Sabah sejak 2017

RM2.49 juta bantuan program Quick Win KEMAS Sabah sejak 2017

Putatan: Seramai 1,672 usahawan kecil luar bandar menerima bantuan program Quick Win anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bernilai RM2.49 juta di Sabah sejak 2017 hingga tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata program itu disasarkan kepada golongan dalam Kumpulan B40, individu yang sudah memulakan perniagaan kecil-kecilan dan menunjukkan minat untuk mengembangkan perniagaan.

Katanya, ia merangkumi golongan belia dan beliawanis B40, peserta kelas kemahiran KEMAS, ibu tunggal, suri rumah dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Beliau berkata, inisiatif di bawah program Pendidikan Kemahiran KEMAS itu bertujuan memberikan latihan dan kursus dalam lima bidang utama iaitu masakan, jahitan, dandanan diri, seni tangan dan pendidikan kesejahteraan keluarga.

“Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui KEMAS sentiasa berusaha untuk mencari jalan bagi meningkatkan pendapatan masyarakat di luar bandar khususnya mereka yang mempunyai keinginan untuk mencari peluang baharu dalam perniagaan perusahaan kecil-kecilan di rumah seperti membuat kek, pastri dan kuih tradisional,” katanya selepas menyampaikan bantuan Quick Win di Kampung Petagas, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Seramai 30 orang peserta Quick Win KEMAS Wilayah Sabah menerima kit peralatan masakan berasaskan pastri seperti ketuhar elektrik, mesin pengadun makanan dan meja keluli yang disampaikan Mahdzir.

Kit peralatan itu diberikan selepas mengikuti kursus yang ditetapkan dengan kadar maksimum bantuan peralatan bernilai RM4,000 bagi setiap peserta.

Ia termasuk bahan pembelajaran sepanjang kursus berlangsung dan kos latihan selama tiga hari secara bersemuka atau lima hari secara atas talian.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata program Quick Win mula dilaksanakan pihak KEMAS pada 2017 dan sehingga tahun lalu, seramai 16,293 orang peserta mengikuti program berkenaan.

“Pelaksanaan program ini diharap dapat memberi impak dalam menyediakan pendedahan kepada peserta yang berpotensi dan ingin menambah pendapatan dalam bidang kemahiran yang diceburi, seterusnya mampu untuk menjadi pengusaha luar bandar yang berjaya,” katanya.

Katanya, antara bidang yang paling menjadi pilihan dalam program itu ialah masakan iaitu membabitkan seramai 4,416 orang peserta.

Beliau, tahun ini KEMAS menerima peruntukan berjumlah RM13.2 juta bagi melaksanakan program kemahiran dengan sejumlah RM2.74 juta daripadanya adalah peruntukan bagi melaksanakan program Quick Win.

“Walaupun negara kita berdepan dengan penularan pandemik Covid-19, namun ia tidak menghalang KEMAS untuk mengadakan kursus secara dalam talian sebagai alternatif bagi memastikan KEMAS tetap mendampingi masyarakat luar bandar dan berjaya mensasarkan seramai 760 peserta yang akan menerima manfaat menerusi program Quick Win kali ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|