RM1.2 bilion biayai projek jalan, bekalan air dan elektrik luar bandar

RM1.2 bilion biayai projek jalan, bekalan air dan elektrik luar bandar

Kota Kinabalu: Sabah kekal antara negeri yang menerima peruntukan besar bagi melaksanakan program pembangunan luar bandar sejajar komitmen kerajaan persekutuan untuk membawa pembangunan lebih pesat di negeri ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata tahun ini saja Sabah menerima RM1.2 bilion untuk melaksanakan tiga jenis projek iaitu Jalan Luar Bandar (JLB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika ditemui media selepas meninjau projek jalan kampung yang dilaksanakan di bawah kementeriannya di Sepanggar.

Katanya, walaupun begitu, peruntukan untuk setahun itu belum memadai untuk melengkapkan keperluan semua rakyat luar bandar di negeri ini berikutan keluasannya yang memerlukan lebih banyak peruntukan bagi melaksanakan lebih banyak projek pembangunan.

“Sabah sebuah negeri yang luas, jadi jalan raya luar bandar yang perlu dibina pastinya lebih panjang dan mengambil masa untuk dilaksanakan bergantung kepada bajet yang disediakan oleh kerajaan.

“Kalau untuk setahun bajet memang tidak cukup tetapi ia dilaksanakan secara berterusan, jadi tahun ini diberikan RM1.2 bilion, tahun depan pun ada lagi. Kita tunggu saja pembentangan bajet pada 29 Oktober ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) meninjau projek jalan kampung yang dilaksanakan di bawah kementeriannya di Sepanggar.

“Untuk negeri ini, Perdana Menteri pun sudah sebut Sabah jadi keutamaan dan antara negeri yang mendapat bajet paling tinggi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek naik taraf jalan raya Kampung Pulau Penampang, di sini, hari ini.

Mahdzir dalam rangka lawatan kerja tiga hari meninjau projek pembangunan luar bandar di bawah kementeriannya bermula hari ini di Kota Kinabalu, sebelum ke Pitas esok dan berakhir di Tuaran pada Selasa ini.

Beliau berkata, kementeriannya memberi tumpuan kepada tiga projek utama di Sabah iaitu JLB, BALB dan BELB bagi memenuhi keperluan jalan raya, bekalan air dan bekalan elektrik penduduk di kawasan luar bandar negeri ini berikutan masih ramai yang belum menikmatinya.

Sementara itu, beliau berkata projek di bawah kementeriannya yang tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diteruskan semula sehingga siap seperti yang dikehendaki.

“Disebabkan PKP, ada projek yang tergendala kerana ada arahan sebelum ini kontraktor tidak dibenarkan masuk ke tapak projek. Jadi, kerja tertangguh lima ke enam bulan.

“Bagaimanapun, kontraktor yang terbabit sudah diberi tempoh untuk meneruskan projek. Kalau tak siap tahun ini sambung lagi ke tahun depan, sehingga Mei atau Jun,” katanya.

Sempena lawatan ke Sabah, Mahdzir berkata beliau turut mendengar taklimat mengenai keseluruhan projek yang dilaksanakan di Sabah pada tahun ini dan perancangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk tahun depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|