UMNO Sabah terima bekas ahli

UMNO Sabah terima bekas ahli

Kuala Penyu: UMNO Sabah sentiasa membuka pintu kepada bekas pemimpin dan ahli atau mana-mana individu yang mahu menyertai perjuangan parti itu.

Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah, Datuk Awang Aslee Lakat, berkata ia sejajar pendekatan parti itu yang bersifat inklusif.

Katanya, dari awal lagi UMNO Sabah mengambil pendirian untuk menerima sesiapa sahaja individu yang berminat menyertai perjuangan parti itu.

“UMNO bukan sebuah parti yang eksklusif, sebaliknya ia bersifat inklusif. Kita sentiasa mengamalkan konsep terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin menyertai perjuangan parti kita.

“Bagaimanapun, ia perlu melalui proses seperti biasa mengisi borang keahlian parti dan dikemukakan kepada cawangan, bahagian dan ibu pejabat parti untuk kelulusan,” katanya selepas menerima sekumpulan 35 penduduk di Kampung Tenambak, di sini yang diketuai Baki Saban menyerahkan borang kemasukan ahli UMNO, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua UMNO yang juga Ketua Wanita UMNO Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching; Setiausaha UMNO Beaufort, Abdul Rahman Taib; Naib Ketua UMNO bahagian, Awang Damit Jion dan Ketua Daerah Mengundi Tenambak, Kimloo Jungin.

Awang Aslee yang juga Ketua UMNO Beaufort, berkata walaupun UMNO Sabah sudah pulih namun penyatuan semua pemimpin dan ahli menjadi jaminan parti akan bertambah kuat.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi pemimpin dari pembangkang atau ahli parti lain tampil menyertai UMNO.

Sebelum ini, katanya walaupun ramai yang menganggap UMNO sudah tidak relevan tetapi parti itu tetap menjadi rebutan ramai.

“Bagi saya ia memberikan indikasi bahawa UMNO mempunyai nilai harga yang mahal walaupun itu cuma persepsi. Apapun UMNO tidak boleh sombong untuk mendengar dan membetulkan diri dengan teguran daripada akar umbi.

“Dalam politik, perlu ada strategi dan rancangan sekiranya hendak menang, termasuk membuka pintu kepada bekas ahli UMNO yang ingin kembali bersama parti,” katanya.

Sementara itu, Baki berkata keputusan beliau bersama-sama rakan yang lain menyertai UMNO dibuat berikutan keyakinan terhadap kesungguhan UMNO membela rakyat.

“Sejak beberapa tahun lalu, kita melihat UMNO konsisten membantu rakyat tidak kira sebagai pembangkang atau kerajaan, ia tetap berusaha membantu bukan sahaja ahli tapi rakyat keseluruhannya,” katanya.

Selesai majlis berkenaan, Awang Aslee bersama rombongan meneruskan program ziarah ke beberapa rumah penduduk yang ditimpa musibah dan sakit di Kampung Tenembak dan Rumah Murah Kampung Kenangka selain turut menyampaikan bantuan bakul makanan di Pusat Daerah Mengundi Palu-Palu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|