JBPM Sabah pasang LiSA di tiga lokasi termasuk Polumpung Melangkap

JBPM Sabah pasang LiSA di tiga lokasi termasuk Polumpung Melangkap

Kota Belud: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah sudah memasang tiga peti Life Saving Appliances (LiSA) di lokasi yang dikenalpasti memerlukan keperluan berkenaan.

Pemasangan peralatan LiSA adalah berdasarkan pemilihan kawasan rekreasi tumpuan pelancong dan risiko kes-kes lemas yang dijangka sering berlaku kes kemalangan di air yang tinggi.

Setakat tiga kawasan yang dilengkapi keperluan itu ialah Polumpung Melangkap View Campsite, Kota Belud, Taman Awam Teluk Likas dan Pantai Syahbandar Tuaran.

Pengarah JBPM Sabah Md Ali Ismail berkata, LiSA mengandungi peralatan seperti pelampung, jaket keselamatan, ‘throw bag rope’ serta dilengkapi dengan siren.

Katanya, ia digunakan sebagai persediaan awal dalam menghadapi kecemasan sekali gus meminimakan kadar kemalangan membabitkan aktiviti air.

“Kita memasang peralatan ini dan mengadakan kempen di kawasan aktiviti air kerana banyak kejadian-kejadian tidak diingini berlaku dan ini adalah sebagai persediaan awal menghadapi segala kemungkinan.

“Setakat ini kita sudah memasang LiSA di tiga lokasi dan akan diteruskan ke beberapa lagi lokasi lain yang difikirkan perlu namun tertakluk kepada peruntukkan ibu pejabat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran, Majlis Keselamatan Aktiviti Di Air (MKAA) dan Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti di Polumpung Melangkap View Camp Site, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kota Belud, Doris William @ Diyanah Abdullah dan Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Farhan Sufyan Borhan.

Md Ali berkata, peralatan LiSA juga dilengkapkan dengan system GPS dan amaran seperti Beacon dan Siren bila loker peralatan dibuka dan digunakan.

Sementara itu, Md Ali turut melancarkan Penubuhan Pasukan Bomba Komuniti yang merupakan salah satu inisiatif kerajaan melalui Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan dan JBPM,

Katanya, ia adalah langkah awal bagi menangani masalah ‘response time’ kehadiran pasukan Bomba ketempat kejadian.

“Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selaku penyelaras kepada penubuhan pasukan Bomba Komuniti akan melatih serta membekalkan kemahiran dan asas pengetahuan tindakan kecemasan kepada ahli pasukan dalam melakukan aktiviti seperti pemadaman kebakaran dan penyelamatan khususnya di air.

“Ahli-ahli Pasukan Bomba Komuniti yang sudah dilatih akan bertindak sebagai ‘first responder’ ke atas sesuatu insiden sebelum ketibaan Pasukan bomba atau agensi penyelamat yang lain,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|