RM16 bilion tangani banjir dalam RMKe-12 dan RMKe-13

RM16 bilion tangani banjir dalam RMKe-12 dan RMKe-13

Kota Kinabalu: Kerajaan menyediakan RM16 bilion untuk melaksanakan beberapa projek berkaitan usaha menangani kejadian banjir di seluruh negara sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia merangkumi program tebatan banjir, pengurusan lembangan sungai bersepadu dan kawalan hakisan pantai serta program ramalan dan amaran banjir.

Katanya, usaha itu dilaksanakan bagi mengatasi atau mengurangkan kesan bencana alam berkenaan terhadap kehidupan rakyat terutama yang membabitkan kerosakan harta benda yang banyak seperti berlaku di Penampang, baru-baru ini.

“Saban tahun, rakyat di seluruh negara dilanda bencana banjir dan tanah runtuh. Bencana ini mengakibatkan kerosakan harta benda, kehilangan nyawa dan mata pencarian.

“Baru-baru ini berlaku bencana seperti fenomena kepala air di daerah Yan dan Kuala Muda di Kedah, banjir di Penampang, Sabah serta tanah runtuh di Kemensah Heights, Selangor.

“Sehubungan itu, penjagaan alam sekitar adalah amat penting bagi melindungi nyawa dan mengurangkan kerugian harta benda.

“Dalam hubungan ini, beberapa projek dengan kos sebanyak RM16 bilion bagi tempoh RMKe-12 dan RMKe-13 akan dilaksanakan di bawah program tebatan banjir, pengurusan lembangan sungai bersepadu dan kawalan hakisan pantai serta program ramalan dan amaran banjir,” katanya ketika membentangkan RMKe-12 di Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata dalam aspek keselamatan, langkah yang lebih tegas akan diambil untuk melaksanakan pelan menyeluruh dan memperkukuh Ops Benteng bagi mengekang pendatang asing tanpa izin.

Katanya, bagi negeri Sabah usaha ke arah itu dapat ditingkatkan dengan siapnya kem tentera baharu di Felda Sahabat, Lahad Datu, Kem 5 Briged di Kota Belud dan Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di Beluran dalam tempoh RMKe-12.

Beliau berkata, Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara juga akan diperkenal bagi menetapkan hala tuju industri tempatan berkaitan pertahanan dan keselamatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|