Pos kawalan sempadan Malaysia – Indonesia akan dibina di Simanggaris, Kalabakan

Pos kawalan sempadan Malaysia – Indonesia akan dibina di Simanggaris, Kalabakan

Kota Kinabalu: Kerajaan akan membina pos kawalan sempadan Malaysia – Indonesia yang baharu di Manalunan, Simanggaris dan Kalabakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pos kawalan itu bertujuan menjamin keselamatan dan meningkatkan hubungan ekonomi dengan wilayah Kalimantan, Indonesia.

Melalui RMKe-12 juga, katanya kerajaan akan melaksanakan kerja menaik taraf Jalan Dudar – Taburan – Mendawang di Kota Belud dengan kos RM101 juta dalam usaha mentransformasi kawasan luar bandar.

Perdana Menteri berkata usaha meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan di Sabah dan Sarawak akan lebih lancar dengan siapnya Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

“Pembinaan 26 buah klinik baharu akan dapat menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan di klinik desa di kedua-dua negeri.

“Selain itu, pembinaan rumah baharu dan pembaikan rumah daif di bawah program bantuan rumah akan memberi manfaat kepada 26,000 isi rumah di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika membentangkan RMKe-12 di Parlimen, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sehingga Ogos 2021, sebanyak 2,645 infrastruktur digital siap dipasang di Sabah dan 2,117 di Sarawak dalam usaha meningkatkan liputan digital dan telekomunikasi di kedua-dua negeri.

“Seperti yang saya umumkan semasa Hari Malaysia, peruntukan berjumlah RM 7.7 bilion, iaitu RM3.61 bilion kepada Sabah dan RM4.09 bilion kepada negeri Sarawak disediakan bagi pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sepanjang tempoh RMKe-12.

“Dengan peruntukan ini, liputan jalur lebar akan dipertingkat melalui pembinaan infrastruktur digital, termasuk pembinaan menara atau pemancar telekomunikasi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|