PM komited selesai isu MA63

PM komited selesai isu MA63

Kota Kinabalu: Perdana Menteri mengulangi komitmennya untuk menyelesaikan isu berkaitan tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia termasuk keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan dan keselamatan.

Berikutan itu, katanya pembangunan negeri Sabah dan Sarawak akan terus diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Ketika membentangkan RMKe-12 di Parlimen hari ini, beliau berkata penyediaan infrastruktur asas
akan diperluaskan lagi di kedua-dua negeri itu.

“Penyediaan infrastruktur asas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 kilometer jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 kilometer Lebuhraya Pan Borneo,” katanya.

Pada masa sama, katanya usaha melonjakkan pertumbuhan di Sabah dan Sarawak turut diberi tumpuan bersama negeri kurang membangun yang lain di Semenanjung.

Katanya, usaha adalah untuk mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah serta antara bandar dan luar bandar.

“Ia bermatlamat untuk mempercepatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang perlahan di negeri Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu serta mengurangkan kadar kemiskinan, terutama di Sabah, Kelantan dan Sarawak.

“Bagi tujuan ini, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan akan diagihkan kepada negeri tersebut.

“Peruntukan ini ditumpukan kepada penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi. Saya sendiri akan memantau pelaksanaannya secara dekat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan strategi dan inisiatif untuk melonjakkan pembangunan Sabah dan Sarawak disasar dapat meningkatkan pertumbuhan KDNK purata tahunan Sabah pada kadar 6.5 peratus, manakala 5.3 peratus di Sarawak dalam tempoh 2021 hingga 2025.

Katanya, beliau yakin kedua-dua negeri itu mempunyai keupayaan dan kekuatan sumber yang boleh dioptimumkan sepenuhnya, malah pertumbuhan sebenar boleh menjadi lebih tinggi daripada jangkaan berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|