Pasukan keselamatan siap siaga hadapi sebarang ancaman

Pasukan keselamatan siap siaga hadapi sebarang ancaman

Lahad Datu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sentiasa berada dalam keadaan bersiap-siaga menjaga keselamatan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, meninjau kepada laporan diterima, kawasan Pantai Timur Sabah kini dilaporkan berada dalam keadaan tenang dan terkawal.

Katanya, operasi masih dijalankan secara berterusan dari semasa ke semasa termasuk menumpukan kegiatan penculikan, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan ancaman pengganas di kawasan perairan ini.

“Kita juga sedang mengadakan operasi sulit yang berjalan lancar dan mendapat kerjasama penuh dari pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan elemen-elemen lain dalam usaha menjaga keselamatan ESSZONE

“Begitu juga dengan kerjasama daripada negara jiran untuk memastikan keberkesanan operasi yang dilancarkan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat ESSCOM, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Hazani Ghazali dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.

Mazlan berkata, pihaknya berharap orang ramai juga membantu dengan menyalurkan maklumat kepada ESSCOM untuk memastikan mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

Katanya, tanpa maklumat, pihak ESSCOM akan berdepan kesukaran untuk melaksanakan tanggungjawab dan tindakan sewajarnya dalam menjaga keselamatan pantai timur.

“Kita berharap aspek keselamatan menerusi tindakan serta operasi yang dijalankan dapat berjalan lancar dan berterusan.

“Orang ramai tidak perlu khuatir dengan keselamatan di negeri ini. Walaubagaimanapun, maklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada sebarang maklumat yang dijalankan pihak tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|