Harga baja, racun pertanian melambung

Harga baja, racun pertanian melambung

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) digesa supaya memantau dan mengawal harga baja serta racun untuk aktiviti pertanian yang dikatakan melambung sejak kebelakangan ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata ramai petani mengeluh berikutan kenaikan harga racun rumpai, baja, dan bahan kimia pertanian yang dikatakan naik sehingga 20 peratus itu.

Beliau berkata, keadaan itu antara lain berpunca daripada bekalan yang terhad berbanding permintaan yang tinggi, disusuli pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berterusan disebabkan pandemik Covid-19.

“Masalahnya ialah, akibat daripada pelaksanaan PKP, kita lambat menerima bekalan bahan kimia pertanian, menyebabkan harga bagi bekalan tempatan naik. Kenaikan caj pengangkutan memburukkan lagi keadaan ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan, berkata Sabah mendapatkan sebahagian besar bekalan racun rumpai dan baja dari India dan China.

Katanya, kos bahan mentah yang digunakan untuk pembuatan barangan untuk sektor pertanian terbabit juga meningkat menyebabkan harganya mengalami kenaikan.

Jeffrey berkata beliau menerima beberapa aduan daripada petani tempatan di Sabah yang mengatakan kenaikan harga baja, racun rumpai dan bahan kimia pertanian jauh melebihi jangkaan.

Katanya, pemain dalam industri pertanian bimbang harga akan kekal pada tahap yang lebih tinggi daripada yang difikirkan sebelum ini kerana tiada petanda bekalan akan pulih.

“Oleh itu, saya berharap KPDNKK mengambil tindakan yang cepat untuk mengawal harga racun rumpai, baja dan bahan kimia pertanian lainnya.

“Pada masa yang sama, saya berharap kedai pertubuhan petani di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan persekutuan dapat membantu petani dengan menjual bahan kimia pertanian dan baja pada harga yang lebih berpatutan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|