Covid-19 Sabah: Kes kembali tiga angka hari ini, terendah sejak 27 Julai

Covid-19 Sabah: Kes kembali tiga angka hari ini, terendah sejak 27 Julai

Kota Kinabalu: Selepas peningkatan lebih 1,000 kes Covid-19 semalam, Sabah kembali mencatat penurunan di bawah empat angka, hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jangkitan menurun 327 kes kepada 751 kes hari ini berbanding 1,078 kes, semalam.

“Sabah hari ini mencatatkan penurunan kes yang agak besar dengan jumlah di bawah 800. Ini adalah satu jumlah terendah sejak 27 Julai 2021.

“Kumulatif harian negeri Sabah yang dicatatkan pada hari ini ialah sebanyak 751 kes dengan jumlah penurunan sebanyak 327 kes berbanding semalam,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Beliau yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, bagaimanapun berkata perubahan angka jangkitan yang direkodkan di setiap daerah masih tidak statik.

Namun, katanya ‘trend’ penurunan angka jangkitan hari ini adalah selari dengan jumlah daerah yang merekodkan penurunan kes iaitu sebanyak 18 daerah, manakala hanya enam daerah mencatatkan peningkatan kes dan tiga daerah kekal mencatatkan jumlah kes sama seperti semalam.

“Kawasan bandar utama juga menunjukkan rekod yang baik di mana semua bandar utama merekodkan penurunan kes kecuali Kota Kinabalu dengan catatan 140 kes hari ini iaitu meningkat 17 kes dan Semporna meningkat satu kes kepada 12 kes berbanding semalam.

“Antara enam daerah yang merekodkan peningkatan kes pada hari ini, hanya Kinabatangan sahaja yang menunjukkan peningkatan signifikan iaitu sebanyak 51 kes kepada 67 kes. Peningkatan yang agak tinggi ini disebabkan penambahan 46 kes baharu dalam dua kluster sedia ada di itu,” katanya.

Beliau berkata, antara 18 daerah lain yang mencatatkan penurunan ketara ialah Lahad Datu yang mencatat penurunan 81 kes kepada 50 kes hari ini, diikuti Ranau 17 kes (-52), Keningau 51 kes (-51), Kota Marudu 27 kes (-34), Penampang 36 kes (-28), Nabawan 14 kes (-25), Sandakan 60 kes (-21), Pitas 19 kes (-20), Kudat tujuh kes (-15), Putatan 21 kes (-13), Tawau 29 kes (-12), Tongod dua kes (-12), Tuaran 46 kes (-11)dan Tambunan dua kes (-10).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|