Restoran dibenar letak meja di ruang legar, kaki lima kedai

Restoran dibenar letak meja di ruang legar, kaki lima kedai

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah membuat keputusan untuk membenarkan premis makanan dan minuman seperti restoran meletak meja di ruang legar atau kaki lima kedai bermula hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kebenaran itu mengambil kira kadar penduduk dewasa lengkap vaksin Covid-19 yang sudah melebihi 40 peratus semalam.

Bagaimanapun, katanya kebenaran itu tertakluk kepada syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) selain prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sabah telah mencapai nilai ambang vaksinasi penuh melebih 40 peratus populasi dewasanya pada 31 Ogos 2021.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri memutuskan untuk membenarkan premis-premis restoran memasang meja di ruang legar atau kaki lima, dengan syarat sudah menyewa tapak berkenaan daripada PBT dan juga tertakluk kepada SOP yang sedang berkuatkuasa.

“Ketetapan ini berkuatkuasa mulai 2 September 2021,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Sabah mencapai 40 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin Covid-19, sempena sambutan Hari Kebangsaan, semalam, manakala 60 peratus penduduk sudah menerima suntikan satu dos vaksin.

Premis makanan termasuk restoran di negeri ini dibenarkan beroperasi secara ‘dine-in’ sejak Jun lalu dan kebenaran itu dikekalkan selepas Sabah diumum beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal Julai lalu.

Bagainanapun, sebelum ini, ada premis makanan dan minuman dilapor tidak dibenarkan meletak meja di ruang legar atau kaki lima kedai.

Difahamkan, pengusaha kedai meletakkan meja hingga di luar premis bagi membolehkan lebih banyak ruang penjarakan fizikal kepada pelanggan yang makan di premis, selain untuk pengudaraan yang lebih terbuka bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|