Kota Kinabalu: Hutan simpan bukan untuk dibolot oleh mana-mana individu atau sekumpulan orang yang hanya mementingkan diri sendiri.
Itu antara peringatan tegas dikeluarkan Jabatan Perhutanan Sabah kepada orang ramai dalam usaha membanteras pencerobohan hutan simpan di negeri ini.
Pengarahnya, Frederick Kugan, berkata sebarang gangguan terhadap kawasan hutan simpan bukan saja memusnahkan khazanah hutan, malah mendatangkan banyak kesan buruk.
Katanya, kejadian banjir kilat, pencemaran air sungai yang menjadi sumber air kepada penduduk dan pelbagai lagi perubahan terhadap alam berlaku disebabkan kemusnahan hutan.
“Perlu disedari bahawa sebarang gangguan ke atas kawasan hutan simpan akan mendatangkan kesan buruk seperti banjir kilat dan pencemaran air sungai yang menjadi sumber air kepada semua.
“Ia juga boleh menyebabkan peningkatan pemanasan global dan gangguan habitat hidupan liar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai di negeri ini supaya tidak sekali-kali menceroboh kawasan hutan simpan untuk sebarang tujuan seperti mengambil kayu, tumbuhan, memburu haiwan, bercucuk tanam, melombong atau mengambil batuan.
Beliau menekankan, hutan simpan adalah khazanah negeri yang perlu dipelihara bersama untuk kepentingan semua rakyat negeri ini sama ada pada hari ini atau untuk generasi akan datang.
Peringatan itu adalah susulan tindakan diambil Jabatan Perhutanan Sabah terhadap aktiviti pencerobohan yang dikesan di beberapa hutan simpan termasuk di Hutan Simpan Paitan, dekat Beluran, baru-baru ini.
Dalam Operasi Bersepadu Khazanah diketuai Platun Tiger, Pasukan Gerakan Am (PGA) pada minggu lalu, sebanyak 14 struktur bangunan yang didirikan di hutan simpan berkenaan dirobohkan, namun tiada penghuni atau peneroka haram ditemui.
Operasi berkenaan turut disertai anggota penguatkuasa Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Taman-Taman Sabah dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia.
Frederick berkata, peneroka haram yang dipercayai terdiri daripada warga tempatan turut menanam tanaman kontan seperti pisang, ubi, sayuran dan pokok buah-buahan dengan anggaran kawasan diceroboh seluas 14 hektar.
Sebelum ini katanya, kawasan itu ditumbuhi pokok hutan dan menjadi habitat pelbagai hidupan liar.
“Kita akan membaik pulih kawasan yang diceroboh ini dengan tanaman pokok balak bagi mengembalikan fungsi asalnya,” katanya.
Jabatan Perhutanan Sabah katanya turut mengambil tindakan sama di beberapa kawasan hutan simpan yang diceroboh dan memulihkannya melalui projek pemulihan hutan, antaranya di Hutan Simpan Mersuli, Tummanung Hallu dan Sapagaya di Lahad Datu, selain di Beluran, Kinabatangan dan Sandakan.
Sementara itu, Frederick berkata Jabatan Perhutanan Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menceroboh kawasan hutan simpan termasuk untuk membina rumah, bercucuk tanam atau memelihara haiwan ternakan.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sebarang pencerobohan di kawasan hutan simpan dalam usaha melindungi khazanah hutan negeri ini.
Katanya, hukuman sehingga RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun mengikut Seksyen 20(1)(b)(i) Enakmen Hutan 1968 menanti penceroboh hutan simpan atas kesalahan mendirikan apa-apa struktur tanpa kebenaran.
“Begitu juga bagi kegiatan bercucuk tanam dan menternak sebarang jenis ternakan dalam kawasan hutan simpan. Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun,” katanya.
-Deasoka