Pemandu maut, kenderaan jatuh gaung

Pemandu maut, kenderaan jatuh gaung

Kota Kinabalu: Seorang pemandu pacuan empat roda maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas ke gaung dalam kejadian di Kampung Kiambalang, Jalan Kionsom, Inanam, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa berusia 56 tahun dikatakan terkeluar dari kenderaannya sebelum tersepit separuh badan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.04 malam.

Katanya, sepasukan 16 anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati kejadian hanya membabitkan seorang mangsa yang memandu Toyota Hilux.

“Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit segera dijalankan dan lelaki terbabit disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pemeriksaan sekitar lokasi dijalankan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.30 malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|