Jelius Ating mulakan tugas Penolong Pengurus Sabah FC

Jelius Ating mulakan tugas Penolong Pengurus Sabah FC

Kota Kinabalu: Bekas Ketua Jurulatih Sabah, Jelius Ating memulakan tugas bersama skuad Sabah FC semalam selepas diambil semula sebagai Penolong Pengurus Pasukan.

Pelantikan Jelius yang diumumkan Pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir pada minggu lalu dibuat bagi membantu skuad Sang Badak menghadapi baki saingan Liga Super musim ini.

Jelius akan membantu Ketua Jurulatih sementara, Burhan Ajui yang mengambil alih tempat Kurniawan Dwi Yulianto selepas pengendali dari Indonesia itu direhatkan hingga ke satu tarikh yang tidak dinyatakan.

Perubahan drastik diambil pengurusan Sabah FC itu adalah susulan prestasi hambar pasukan yang gagal mencatat sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan sepanjang pusingan kedua Liga Super yang bermula Julai lalu.

Jelius dilihat hadir pada sesi latihan bersama pemain Sabah FC di padang sintetik Kompleks Sukan Likas yang turut disertai staf kejurulatihan termasuk Burhan, semalam.

Turut kelihatan ialah Jurulatih Sabah FC III (Piala Presiden), Johnny Dominicus dan difahamkan beliau diberi tanggungjawab untuk membantu staf kejurulatihan Sabah FC berikutan pembatalan kejohanan Piala Presiden dan Piala Belia tahun ini.

Kehadiran Jelius disambut baik pemain Sabah FC dan ia disifatkan sebagai satu langkah baik ke arah memulihkan prestasi pasukan.

Difahamkan, tiga lagi pemain skuad Piala Presiden turut dipanggil untuk menyertai pasukan senior Sabah FC bagi memantap kedudukan skuad Sang Badak.

Mereka ialah bekas pemain skuad bawah 19 tahun kebangsaan, Gerald Gadit, 22; pemain skuad Sukma 2018, Mohd Hizaz Lokman, 21; dan Naaim Firdaus Stibin, 22.

Gerald adalah bekas pelajar Sekolah Sukan Negeri, SMK Datuk Peter Mojuntin dan Hizaz adalah bekas pelajar Sekolah Sukan Negeri Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian dan mereka juga dipanggil menyertai latihan pasukan senior pada awal musim.

Ketiga-tiga mereka adalah antara tujuh pemain dari skuad Piala Presiden yang dipanggil menyertai skuad Sabah FC dengan empat yang lain ialah Mohd Hanafi Tokyo Hasim, Sahrizan Saidin, Nureizkhan Isa Jaafar dan Harith Naem.

Ketika dipanggil semula kembali bersama Sabah FC, Jelius menyatakan kesediaannya untuk membantu pasukan berkenaan walaupun sudah berada di penghujung saingan liga.

“Atas kepercayaan pihak pengurusan, saya akan cuba membantu pasukan ini. Sabah FC adalah pasukan kita, sudah tentu saya akan sedia membantu,” katanya.

Jelius adalah jurulatih yang berjaya membawa pasukan Sabah menjuarai Liga Perdana pada 2019.

Bagaimanapun, katanya, beliau terpaksa membuka semula ‘kitab bola sepak’ memandangkan sudah beberapa bulan tidak bersama dalam pasukan itu.

Namun, katanya ia bukan masalah baginya kerana semangat untuk membantu pasukan melakar kejayaan dalam perlawanan selepas ini mengatasi segalanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|