Remaja perempuan dikhuatiri lemas, 3 selamat

Remaja perempuan dikhuatiri lemas, 3 selamat

Sandakan: Tiga individu terselamat manakala seorang lagi dikhuatiri lemas selepas terhumban ke dalam laut di Kampung Semawang Batu 19, di sini, petang tadi.

Remaja perempuan berusia 14 tahun itu bersama tiga individu lain dikatakan terhumban dari bot ketika dalam perjalanan dari Kampung Semawang laut ke Kampung Semawang Darat pada jam 6 petang.

Tiga individu terbabit berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung manakala remaja perempuan gagal ditemui.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.50 malam.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Lokasi kejadian terletak sejauh 40 kilometer daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan.

“Setakat ini, remaja perempuan terbabit masih gagal ditemui dan usaha mencari dan menyelamat giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|