8 perlawanan aksi akhir Kejohanan Bola Sepak SAFA Piala BMR esok

8 perlawanan aksi akhir Kejohanan Bola Sepak SAFA Piala BMR esok

Kota Kinabalu: Lapan perlawanan diadakan pada hari pertama grand final Kejohanan Bola Sepak SAFA Piala BMR B18 yang akan berlangsung di empat venue berasingan esok.

Dalam Kumpulan A, pasukan Pantai Barat akan menentang Pantai Barat Selatan di Stadium Penampang mulai jam 7.30 pagi, disusuli dengan perlawanan di antara Pantai Timur Utara dan Pantai Barat Timur pada jam 9 pagi.

Perlawanan seterusnya di venue sama, pasukan Pantai Barat Timur akan berdepan Pantai Barat Selatan jam 4.30 petang, manakala pasukan Pantai Barat akan melawan Pantai Timur Utara di padang SAFA pada jam 4.30 petang.

Dalam Kumpulan B pula, Pantai Barat Utara akan menentang Zon Tengah di padang sintetik Likas pada jam 7.30 pagi, manakala pasukan Pantai Timur Selatan akan bertemu Pedalaman Atas juga di padang sintetik Likas pada jam 9 pagi.

Dua perlawanan pula berlangsung pada sebelah petang, iaitu pasukan Pantai Barat Utara bertemu Pantai Timur Selatan di venue yang sama pada jam 4.30 petang, manakala pasukan Zon Tengah akan melawan Pedalaman Atas di padang sintetik UMS pada waktu yang sama.

Sementara itu, lusa (Sabtu), hanya empat perlawanan diadakan di dua venue berasingan.

Pasukan Pantai Barat akan bertemu Pantai Barat Timur dalam Kumpulan A di Stadium Penampang mulai jam 7.30 pagi manakala Pantai Barat Selatan akan menentang Pantai Timur Utara di venue yang sama pada jam 9 pagi.

Dalam Kumpulan B, pasukan Pantai Barat Utara akan berdepan Pedalaman Atas di padang sintetik UMS pada jam 7.30 pagi, manakala pasukan Zon Tengah akan melawan Pantai Timur Selatan di venue yang sama pada jam 9 pagi.

Pada sebelah petang pula upacara perasmian akan berlangsung di padang SAFA dan akan disempurnakan Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, Azman Mastar, berkata tiada perlawanan diadakan pada sebelah petang memandangkan semua pasukan yang bertanding di grand final akan menghadiri majlis perasmian.

Azman yang juga Penolong Setiausaha Agung SAFA, berkata kepimpinan tertinggi SAFA dan beberapa orang kenamaan negeri dijangka hadir pada majlis itu.

Beliau berharap mereka yang menghadiri majlis perasmian itu supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa dan sentiasa memakai pelitup muka.

Sementara itu, di Tenom, JJFC yang mewakili Zon Pedalaman Atas yang giat menjalani latihan akhir semalam turut meletakkan harapan untuk bersaing di peringkat akhir.

Presiden JJFC, Jamawi Jaafar berharap anak buahnya akan bermain dengan penuh semangat bagi memastikan pasukannya dapat meraih tempat dalam kejohanan itu.

“Saya berharap pemain JJFC dapat bermain dengan penuh semangat bagi mengulangi kejayaan JJFC yang pernah muncul sebagai johan dalam kejohanan bola sepak Allianz Cup pada 2018,” katanya ketika mengadakan perjumpaan bersama pemain dan pegawai JJFC di padang Pekan Tenom, semalam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|