Pasukan petugas khas kaji kesan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan

Pasukan petugas khas kaji kesan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan

Kota Kinabalu: Satu pasukan petugas bersama ditubuhkan bagi merancang dan memantau pembangunan sempadan Sabah dan Sarawak selaras dengan rancangan Indonesia memindahkan ibu kota negara itu ke Kalimantan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata pasukan berkenaan akan mengkaji kesan pemindahan itu terhadap perancangan pembangunan di Sabah dan Sarawak.

“Pasukan petugas ini adalah usaha bersama antara Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dan Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed dan saya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat pertama pasukan petugas berkenaan di Kuala Lumpur, hari ini.

Maximus berkata, selain pembangunan infrastruktur, pasukan petugas itu juga akan meneliti aspek lain seperti pelancongan, pertukaran budaya, pendidikan dan pelancongan kesihatan.

Katanya, pasukan berkenaan turut melihat isu berkaitan keselamatan di sempadan dan penubuhan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di semua pintu masuk di antara kedua-dua negara.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu menambah, pasukan petugas itu diwujudkan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa Ahli Parlimen membangkitkan isu dan kebimbangan mereka mengenai cadangan pemindahan ibu kota Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan.

“Kita sedang merangka kertas kerja mengenai isu itu dan akan bertemu semula pertengahan bulan depan sebagai persediaan untuk mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang mana kedua-dua Ketua Menteri Sabah dan Sarawak akan terbabit sama dalam merangka strategi pembangunan sempadan jangka panjang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|