Kes penipuan atas talian menunjukkan trend peningkatan

Kes penipuan atas talian menunjukkan trend peningkatan

Kota Kinabalu: Jenayah penipuan atas talian dilaporkan terus meningkat membabitkan 2,804 kes sepanjang tempoh Januari 2019 hingga Oktober tahun ini di Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata, semua kes penipuan itu membabitkan kerugian yang dianggarkan mencecah RM79.2 juta.

Katanya, ia adalah satu angka yang besar dan kajian juga mendapati kes-kes penipuan atas talian berkenaan menunjukkan trend peningkatan yang agak ketara.

“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Komersil sudah melaksanakan pelbagai tindakan penguatkuasaan dan pembanterasan namun kes jenayah penipuan dalam talian dilihat terus meningkat.

“Justeru itu, atas rasa tanggungjawab dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara, penglibatan masyarakat dalam pencegahan jenayah komersil amat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Forum Jenayah Dalam Talian, di pusat beli belah Imago, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah Datuk Jauteh Dikun dan Timbalan Pengarah Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia JSJK Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos.

Idris berkata, salah satu inisiatif yang lebih komprehensif perlu dilaksanakan bagi memastikan kes-kes jenayah penipuan dalam talian ini dapat diturunkan.

Idris berkata, Kempen Pencegahan Jenayah Komersil (Jenayah Atas Talian) Tahun 2021 juga adalah inisiatif JSJK bagi memastikan masyarakat didedahkan segala ilmu pengetahuan berkaitan jenayah komersil.

“Menerusi tema ‘Kesedaran Jenayah Komersil Kesejahteraan Komuniti’ kempen ini adalah secara besar-besaran dijalankan sepanjang November ini di seluruh pelusuk negeri,” katanya.

“PDRM meletakkan harapan yang amat tinggi supaya kempen ini berupaya mencapai matlamatnya sekali gus menurunkan kadar jenayah komersil,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|