Mohamaddin masuk BERSATU

Mohamaddin masuk BERSATU

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi, diterima menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Kemasukannya ke parti berkenaan diumumkan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan malam tadi.

Hamzah berkata, penerimaan Mohamaddin sebagai ahli baharu parti itu diperakukan pada Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

“Mesyuarat Khas MPT BERSATU memperakukan dan menerima permohonan Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga ADUN Segama, YB Datuk Mohammadin Bin Ketapi sebagai ahli BERSATU yang baharu.

“BERSATU menyambut baik keahlian beliau kerana ianya bukan sahaja bakal mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan negeri Sabah pimpinan Ketua Menteri YAB Datuk Seri Hajiji Noor, malah ianya juga akan memberikan manfaat yang besar kepada pembangunan serta kebajikan rakyat di Parlimen dan DUN yang beliau wakili,” katanya.

Pada 30 Oktober lalu, Mohamaddin mengumumkan keluar daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan menjadi wakil rakyat bebas di Dewan Rakyat serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Beliau adalah pemimpin kedua WARISAN meninggalkan parti itu pada Oktober lalu selepas ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob yang mengumumkan keluar parti pada 8 Oktober lalu.

Berikutan tindakan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu, WARISAN sehingga kini kehilangan tiga wakil rakyat termasuk ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir yang keluar pada Februari lalu.

Mohamaddin berkata keputusan keluar parti dibuat demi usaha dan tumpuannya untuk membawa pembangunan di DUN Segama dan Parlimen Lahad Datu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|