Rawilson sudah ‘sain’ kontrak

Rawilson sudah ‘sain’ kontrak

Kota Kinabalu: Pemain pertahanan Sabah FC, Rawilson Batuil antara yang terawal menandatangani kontrak untuk sekali lagi bersama Sabah FC dalam aksi Liga Super 2022.

Perkara itu disahkan sendiri Rawilson dalam perkongsian di akaun Facebooknya semalam yang turut disertakan dengan gambar ketika beliau menandatangi kontrak.

Turut kelihatan dalam gambar itu ialah Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee; Pengurus Pasukan Sabah FC, Marzuki Nasir dan Pengarah Teknikal Sabah FC, Scott Ollerenshaw.

Dalam perkongsian di Facebooknya, pemain berumur 27 tahun yang berasal dari Kota Marudu itu menyatakan tekadnya untuk berusaha semampu yang boleh demi Sabah FC.

“Terima kasih Sabah FC atas kepercayaan khidmat saya. Saya akan berusaha semampu yang boleh menggunakan kudrat demi Sabah FC.

“Terima kasih juga kepada penyokong yang tidak putus-putus memberi semangat kepada Saya. Jumpa di musim baru,” katanya.

Setakat ini belum ada berita mengenai pemain lain yang bakal kembali beraksi bersama Sabah, sebaliknya ada spekulasi mengatakan 16 pemain musim ini mungkin digugurkan.

Bagaimanapun, keputusan rasmi barisan pemain baharu skuad Sang Badak dijangka diketahui awal bulan depan seperti dimaklumkan Kim Swee dalam kenyataannya, semalam.

Dalam kenyataan itu, Kim Swee menyatakan hasratnya untuk membawa beberapa pemain berkualiti bagi menyertai skuad Sang Badak dalam saingan Liga Super musim depan.

Katanya, nama pemain hebat seperti Khairul Fahmi Che Mat, Baddrol Bakhtiar, Irfan Fazail dan beberapa pemain lagi memang diperlukan bagi memastikan Sabah mampu memberikan saingan tetapi semuanya tertakluk kepada bajet Sabah FC.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|