Pengguna dapat bayaran RM36,358.85 daripada kontraktor

Pengguna dapat bayaran RM36,358.85 daripada kontraktor

Kota Kinabalu: Seorang kontraktor diarahkan membayar sebanyak RM36,358.85 kepada seorang pengguna oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas berkata, pembayaran itu dibuat secara tunai oleh pihak kontraktor pada 25 November di pejabat TTPM Kota Kinabalu.

Katanya, pengguna membuat pengubahsuaian rumah yang dikendalikan kontraktor berkenaan bermula pada Februari tahun lalu namun terhenti pada Disember 2020.

“Pengguna sudah membuat bayaran penuh kepada pihak kontraktor untuk pembelian bahan binaan dan upah buruh, namun sebahagian kerja-kerja pengubahsuaian tidak disiapkan oleh pihak kontraktor.

“Pengguna mendapati bahawa pihak kontraktor sudah melanggar perjanjian di mana kerja-kerja pengubahsuaian rumah tidak dilakukan mengikut jumlah bayaran yang diterima,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Georgie berkata, kes didengar pada 16 November lalu di Mahkamah TTPM yang menetapkan pihak kontraktor perlu membayar jumlah itu kepada pengguna dalam tempoh 14 hari.
 
Sementara itu, Georgie berkata, sejak Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 dikuatkuasakan, banyak kes yang tertangguh dapat diselesaikan berikutan kelonggaran pergerakan.

Katanya, bagi tahun 2020, sebanyak 146 kes didaftarkan dan 143 kes daripadanya berjaya diselesaikan.

“Bagi tahun 2021 pula sehingga 25 November lalu, 104 kes didaftarkan dan sebanyak 66 kes berjaya diselesaikan,” katanya.

Sehubungan itu, Georgie berkata, orang ramai disarankan untuk mengenali dengan lebih dekat fungsi dan bidang kuasa TTPM bagi memudahkan masyarakat menyelesaikan masalah sekiranya berlaku sebarang tuntutan akibat kecuaian atau pelanggaran perjanjian antara pengguna dengan pembekal.
 
Katanya, sebagai makluman, TTPM mendengar tuntutan yang difailkan bagi kes-kes tebus rugi pembelian barang dan perkhidmatan untuk hal perkara yang dibenarkan mengikut Akta Pelindungan Pengguna 1999 dengan jumlah amaun tuntutan tidak melebihi RM50,000.00.

“TTPM ditubuhkan bagi menyediakan satu saluran alternatif selain mahkamah sivil untuk pengguna menuntut tebus rugi berkenaan pembelian barang atau perkhidmatan yang dibekalkan daripada peniaga atau pembekal perkhidmatan dengan cara yang mudah, murah dan cepat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|