496 pelajar B40 di Ranau terima bantuan komputer riba

496 pelajar B40 di Ranau terima bantuan komputer riba

Ranau: Seramai 496 pelajar dari keluarga B40 di 11 sekolah menengah di daerah ini menerima bantuan komputer riba sumbangan kerajaan negeri, di sini, hari ini.

Ia adalah sebahagian daripada 10,000 unit komputer riba yang diagihkan di bawah Program Bantuan Ihsan Komputer Sabah (BAIKS) tahun ini yang disasarkan kepada pelajar golongan B40 yang menduduki peperiksaan penting.

Inisiatif Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu dilaksanakan di bawah pelan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk membantu pelajar mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) supaya tiada murid yang tercici disebabkan pandemik Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang menyempurnakan penyampaian bantuan komputer riba itu menyifatkan bantuan berkenaan bukti keprihatinan kerajaan terhadap perkembangan pendidikan anak-anak Sabah.

“Sejajar dengan pelan SMJ, saya melihat inisiatif seperti ini sangat baik bagi membantu meningkatkan keupayaan modal insan iaitu dengan memberikan pendidikan yang berkualiti kepada anak-anak Sabah,” katanya.

Yang turut hadir ialah Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Ariffin Arif.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang menasihatkan pelajar agar memanfaatkan sepenuhnya peranti berkenaan, selain mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau anak-anak mereka ketika menggunakannya.

“Kita yakin, anak-anak yang masih berada di bangku sekolah pada hari ini, merekalah yang bakal menggantikan kita untuk memimpin dan memajukan lagi daerah Ranau di masa hadapan.

“Kerana itu, kita bertanggungjawab untuk membentuk dan mendidik mereka supaya menjadi sebaik-baik manusia selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya.

Beliau turut menyatakan harapan agar inisiatif seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|