Covid-19 Sabah: Vaksin lengkap penduduk dewasa baru capai 75.44 peratus

Covid-19 Sabah: Vaksin lengkap penduduk dewasa baru capai 75.44 peratus

Kota Kinabalu: Vaksinasi lengkap Covid-19 penduduk dewasa di Sabah baru mencecah 75.44 peratus, berbanding sasaran 80 peratus untuk mencapai imuniti kelompok sehingga kelmarin.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata peratusan itu mewakili seramai 2,081,073 penduduk dewasa.

Bagi penduduk dewasa yang sudah menerima satu dos vaksin, katanya pencapaian setakat kelmarin menunjukkan seramai 2,105,061 orang sudah menerima suntikan atau bersamaan 76.31 peratus daripada jumlah penduduk dewasa Sabah.

“Kumulatif penduduk Sabah yang sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 setakat 24 November 2021 adalah seramai 2,438,616 orang. Ini meliputi 2,105,061 orang penduduk dewasa bersamaan dengan 76.31 peratus jumlah penduduk dewasa.

“Bagi penduduk Sabah yang menerima dos lengkap pula, seramai 2,387,066 orang direkodkan setakat semalam (kelmarin) dengan seramai 2,081,073 orang daripadanya atau 75.44 peratus adalah penduduk dewasa,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Katanya, pemberian vaksin untuk golongan remaja pula menunjukkan seramai 333,555 orang atau 76.86 peratus daripada remaja berumur 12 hingga 17 tahun di Sabah sudah menerima satu dos vaksin dengan seramai 305,993 orang atau 70.51 peratus sudah lengkap dua dos vaksin.

Masidi berkata statistik pemberian vaksin Covid-19 kelmarin menunjukkan seramai 4,774 orang menerima vaksin di seluruh negeri, masing-masing seramai 4,388 orang penduduk dewasa dan 386 orang remaja.

Sebelum ini, kerajaan negeri mensasarkan imuniti kelompok vaksin COVID-19 bagi penduduk dewasa di Sabah dicapai pada minggu pertama atau kedua November, namun statistik menunjukkan sasaran berkenaan belum dicapai.

Situasi itu dipercayai disebabkan masih ada daerah yang belum mencapai 80 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin sebelum ini, berkata ada empat daerah belum mencapai peratus berkenaan iaitu Tawau, Sandakan, Kinabatangan dan Nabawan.

Bagaimanapun, katanya JKNS masih giat melaksanakan program vaksinasi dan menggesa mana-mana individu dewasa di Sabah yang belum menerima suntikan untuk segera tampil di mana-mana klinik atau hospital bagi mendapatkan vaksin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|