Rampas minuman keras, mercun seludup bernilai RM502,316

Rampas minuman keras, mercun seludup bernilai RM502,316

Penampang: Sebuah gudang tanpa nama, di Jalan Pantai Berahi, Putatan, di sini, yang dipercayai menjadi lokasi penyimpanan minuman keras dan mercun seludup diserbu, semalam.

Operasi Bersepadu ‘Ops Kontraban’ dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah, jam 3.05 petang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi bersepadu Ops Kontraban dibuat hasil risikan dan maklumat.

Katanya, dalam operasi itu pihaknya merampas 3,986 katon minuman keras dan 40,500 biji mercun pelbagai jenama.

“Nilai keseluruhan minuman keras dan mercun yang dirampas selepas tafsiran cukai RM502,316.

“Tiada tangkapan dilakukan ketika serbuan dan semua barang rampasan diserahkan kepada JKDM Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang-barang tidak berkastam.

Sementara itu, Mohd Haris berkata, operasi ini dijalankan bersama JKDM Sabah untuk membanteras aktiviti penyeludupan khususnya di kawasan daerah ini

“Objektif operasi bagi membanteras rangkaian pengedaran serta penjualan rokok seludup dan minuman keras tanpa cukai selain memastikan Penampang bersih daripada menjadi pusat penyimpanan atau stor rokok seludup dan minuman keras tanpa cukai.

“Untuk makluman juga, sepanjang operasi bersepadu bersama JKDM Sabah, telah merekodkan sebanyak empat kali serbuan dan rampasan berjaya dalam tempoh dua bulan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru untuk masyarakat menyalurkan maklumat sekali gus sama – sama membanteras aktiviti penyeludupan khususnya di Penampang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|