JANS diminta selesai segera masalah air di Sepanggar

JANS diminta selesai segera masalah air di Sepanggar

Kota Kinabalu: Lebih 5,000 penduduk di Sepanggar merayu kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) supaya menyelesaikan segera masalah air yang menghantui penduduk kawasan berkenaan ketika ini.

Mewakili penduduk, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan, berkata kebanyakkan tempat di kawasan Sepanggar terjejas akibat masalah air yang semakin kritikal.

Beliau berkata, kawasan perumahannya sendiri yang dihuni kira-kira 300 penduduk turut terjejas sehingga ada yang terpaksa membersihkan diri di pejabat dan menadah air hujan untuk kegunaan seharian.

“Antara yang terjejas adalah di kawasan saya sendiri iaitu Taman Malawa Jaya, sudah lima hari tiada air dan saya terpaksa menadah air hujan untuk simpanan mengambil wudhu.

“Notis catuan tiada langsung diterima menyebabkan penduduk tidak mempunyai sebarang persediaan untuk menyimpan bekalan ketika ketiadaan air paip,” katanya.

Katanya, beliau sudah menghubungi bahagian aduan dan jurutera JANS Kota Kinabalu untuk mendapatkan maklum balas berhubung situasi yang mereka hadapi, namun belum ada sebarang tindakan.

Malah, katanya Pengarah JANS yang bertanggungjawab terhadap masalah air di Sabah juga sudah dihubungi, namun tiada tindakan dilakukan sehingga kini.

Sehubungan itu, beliau berharap masalah berkenaan diselesaikan dengan segera selain meminta pihak yang bertanggungjawab memberi penjelasan berhubung perkara itu.

“JANS sepatutnya lebih telus dengan menggunakan Facebook untuk menyebarkan maklumat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk di Universiti Condo Apartment 2 (UCA2), Aisyah Ibrahim, 28, berkata masalah ketiadaan air sudah berlarutan sejak lebih sebulan lalu termasuk ketika kawasan mereka dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Jelasnya, catuan air memang dilaksanakan tetapi tidak mengikut jadual yang ditetapkan dan kerap berlaku keadaan tiada air.

“Saya harap keadaan ini tidak berterusan kerana ia menyusahkan penduduk terutama bagi yang tinggal di rumah bertingkat kerana sukar untuk kami mendapatkan bekalan air bersih dari luar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|