Program Ziarah Hijrah bantu barisan hadapan DBKK.

Program Ziarah Hijrah bantu barisan hadapan DBKK.

Kota Kinabalu: Petugas barisan hadapan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerima Bantuan Bakul Makanan (BBM) pada Program Ziarah Hijrah di sini, hari ini.

Datuk Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip berkata, program berkenaan dilaksanakan hasil kerjasama bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Katanya, bantuan berkenaan diberikan kepada petugas barisan hadapan yang terdiri daripada anggota dalaman dan luaran DBKK yang bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan kepada masyarakat terutamanya ketika pandemik Covid-19.

“Seramai 40 penerima keseluruhan juga adalah dalam kalangan golongan yang terkesan akibat pandemik COVID- 19.

“Mereka terdiri daripada anggota DBKK daripada Jabatan Landskap dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal serta anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang bertugas di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bandaraya Kota Kinabalu,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.

Terdahulu sumbangan disampaikan secara simbolik oleh Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif.

Turut hadir Timbalan Yang DiPertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Ustaz Malai Ali Malai Ahmad, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pentadbiran Daerah dan Wilayah, JHEAINS Awang Juri Ag. Tahir.

Noorliza berkata, beliau berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban anggota barisan hadapan DBKK.

“Selain itu, sejumlah RM1,155,600 diberikan kepada Asnaf Fakir Daerah Kota Kinabalu daripada MUIS untuk Dana Penerima Bantuan Bulanan Zakat MUIS.

“Sumbangan Khas Pengurusan sebanyak RM10,000 daripada MUIS turut diberikan kepada Badan Dakwah Bandaraya Kota Kinabalu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|