Kota Kinabalu: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bakal menganjurkan kursus kejurulatihan bola sepak untuk lesen D bermula 8 hingga 12 November depan.
Kursus hasil kerjasama dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) Sabah itu adalah salah satu usaha memastikan pembangunan sukan ini terus berkembang bermula dari peringkat akar umbi.
Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat berkata, sasaran utama penganjuran kursus berkenaan adalah bagi melahirkan lebih ramai jurulatih bertauliah.
Katanya, inisiatif itu dilakukan selepas pihaknya menyedari terdapat keciciran dalam jumlah jurulatih berpengalaman di negeri ini terutamanya di daerah-daerah kecil.
“Kursus yang diadakan ini adalah langkah pertama untuk Sabah melahirkan lebih ramai jurulatih yang berkemahiran dan berkualiti.
“Ini kerana jurulatih yang baik dan berkemahiran tinggi sudah pasti dapat melahirkan lebih ramai pemain bola sepak yang berkualiti,” katanya pada sidang media selepas sesi penerangan penganjuran kursus berkenaan yang diadakan secara atas talian, hari ini.
Selain itu, Omar berkata, kursus ini juga dilihat sebagai salah satu usaha melahirkan lebih ramai jurulatih wanita.
Katanya, walaupun Sabah sangat terkenal dalam melahirkan pemain wanita yang mewakili negara namun jurulatih pasukannya hanya di monopoli lelaki.
“Kita mahu pembangunan bola sepak di negeri ini seimbang antara lelaki dan wanita. Saya percaya dengan adanya jurulatih wanita berkemahiran tinggi, ia pasti dapat membawa bakat pemain wanita ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Omar berkata, kursus berkenaan terbuka kepada 24 individu yang berminat untuk mendapatkan lesen kejurulatihan.
Katanya, kursus akan dijalankan di Ibu Pejabat SAFA, di Jalan Kompleks Sukan Likas, di sini, dan sesiapa yang berminat boleh mendaftar menerusi pengurusan SAFA di daerah masing-masing.
“Sesiapa yang berminat untuk menyertai kursus ini boleh mendaftar masuk dengan segera berikutan kuotanya yang terhad dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 20 Oktober depan,” katanya.
-Deasoka