Ibu tunggal sembilan anak dijatuhi hukuman mati

Ibu tunggal sembilan anak dijatuhi hukuman mati

Tawau: Seorang ibu tunggal sembilan anak dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah memiliki dan mengedar dadah di Mahkamah Tinggi Tawau, semalam.

Tertuduh Hairun Jalmani, 55 tahun, yang juga penjual ikan didapati bersalah memiliki dadah jenis syabu seberat 113.9 gram di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pangkalan Wakuba, Batu 15 Jalan Apas, 10 Januari 2018.

Tertuduh Hairun Jalmani, 55 tahun

Hukuman diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi, Dr Alwi Abdul Wahab, selepas pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie manakala pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Kes pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya, Mohammed Ali Imran manakala tertuduh diwakili peguam lantikan mahkamah, Darmin Acho.

Mengikut keretangan kes, ketika serbuan dijalankan, wanita terbabit berada bersendirian sebelum ditemui bersama satu bungkusan dipercayai yang disembunyikan di bawah katil biliknya.

Sepanjang prosiding pendakwaan, pihak pendakwa menampilkan empat saksi manakala pihak pembelaan mengemukakan dua saksi termasuk tertuduh sendiri.

Sementara itu, ketika dibawa keluar dari kamar mahkamah, tertuduh meraung meminta tolong dan seakan masih tidak mengaku bersalah.

Wanita terbabit kemudiannya terpaksa ditenangkan oleh anggota polis yang mengiringinya keluar untuk ditempatkan semula di penjara sementara menunggu hukuman dilaksanakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|