Program vaksinasi pandu lalu Kem Lok Kawi

Program vaksinasi pandu lalu Kem Lok Kawi

Kota Kinabalu: Seramai 259 anak anggota tentera Divisyen Kelima Infantri (5 Div) dan pasukan naungannya menerima vaksin yang dilaksanakan secara pandu lalu di Kem Lok Kawi, di sini, semalam.

Tujuan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) itu dilaksanakan adalah sebahagian daripada usaha Tentera Darat dalam mendukung Program Imunisasi COVID-19 negara.

Kenyataan media yang dikeluarkan Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia berkata, pemberian vaksin itu diberikan kepada anak-anak anggota tentera yang berusia antara 12 sehingga 17 tahun.

Katanya, ia bagi memastikan proses vaksinasi disegerakan dan tiada golongan yang tercicir serta seterusnya mencapai sasaran imuniti kelompok dalam kalangan tentera dan waris.

“Program ini dilaksanakan seawal jam 8.30 pagi dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan.

“Program seumpama ini akan diteruskan di kem-kem tentera kawasan tanggungjawab 5 Div bagi memastikan pemberian vaksin ini dapat disampaikan kepada semua anak-anak anggota tentera,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan Vaksinasi Pandu Lalu ini adalah sejajar dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga dengan mengutamakan aspek kesihatanan bagi mencapai tahap imuniti kelompok.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|