Tenom: Kanak-kanak berusia 12 tahun yang hanyut selepas bot dinaiki karam kejadian di Sungai Padas, berhampiran Kampung Kalandos Pangi, di sini, ditemui lemas, hari ini.
Mangsa Melvin Junaidi, ditemui orang awam pada jam 4.45 petang di Sungai Padas, Batu 60, di daerah Beaufort kira-kira 33 Kilometer dari lokasi bot karam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri (PPON) Misran Bisara berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Kampung Binunuk, Beaufort untuk proses pengecaman oleh keluarga mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR) bot karam di alamat Kg Kalandos Pangi bersama-sama agensi bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) ditangguhkan pada jam 5 petang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Misran berkata, operasi SAR akan disambung pada keesokan hari untuk mencari seorang lagi mangsa yang masih belum ditemui iaitu Joseph Sayah, berusia 55 tahun.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam kejadian jam 4 petang, semalam, kedua-dua mangsa hilang menaiki bot bersama dua lagi mangsa terselamat di Sungai Padas, di sini, selepas memberi barangan keperluan di pekan Tenom.
Bot yang dinaiki dikatakan tiba-tiba terbalik disebabkan arus deras ketika cuba menyeberangi sungai berkenaan.
Dua mangsa iaitu seorang lelaki warga emas lelaki dan seorang wanita berjaya menyelamatkan diri manakala dua lagi mangsa hanyut sebelum hilang di bawa arus deras.
-Deasoka