Program khas tangani Covid-19: KBSS

Program khas tangani Covid-19: KBSS

Kota Kinabalu: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) akan mempertingkat usaha menangani penularan pandemik Covid-19 di negeri ini.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata, pihaknya telah menjalankan bengkel dan program khas bagi meningkatkan kesedaran khususnya di kalangan belia bagi usaha terbabit.

“KBSS telah menjalankan bengkel dan program khas meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan belia dan beliawanis dalam usaha kita bersama seluruh jentera kerajaan memerangi Covid-19.

“Banyak lagi program dan aktiviti berkenaan Covid-19 ini telah kita rancang, tetapi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini memaksa kita berhenti seketika, “katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Ellron sebelum ini turut menyambut baik saranan daripada bekas menteri KBBS sebelumnya, Ginger Phoon Jin Zhe yang meminta kementerian itu lebih proaktif dalam mempercepatkan proses vaksinasi di Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang itu turut menyeru supaya kementerian tersebut mengaktifkan organisasi di bawah naungan KBSS untuk mengajak lebih ramai belia dan beliawanis terlibat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Sebelum ini, Kementerian telah melaksanakan Bengkel Masyarakat Sihat dan Cergas dalam Norma Baharu yang mana telah dilaksanakan di empat buah daerah iaitu Tuaran, Kudat, Kuala Penyu dan Papar.

Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk memberi kesedaran dan mendidik masyarakat tentang bahaya dan ancaman Covid-19 kepada manusia sejagat.

Pengisian program ini turut melibatkan ceramah berkenaan vaksinisasi Covid-19 dan Pelaksanaan SOP oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah di daerah-daerah yang terlibat, Kempen Keselamatan polis serta taklimat bahaya penyalahgunaan dadah dikalangan belia dan beliawanis oleh pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Program ini dilaksanakan mengikut sepenuhnya SOP yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah, di mana hanya 120 peserta terlibat untuk setiap kali penganjuran.

“Sepatutnya selepas empat daerah yang disebutkan itu, KBSS merancang untuk meneruskan program yang sama di lima daerah lagi, tetapi tertangguh disebabkan PKP sehingga ke hari ini,” tambah Ellron.

Jelas beliau lagi, pihaknya turut merancang untuk melaksanakan Program Khas Covid-19 di 27 daerah seluruh negeri Sabah.

“Program Khas ini adalah menjurus kepada kefahaman program vaksinasi, Peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan kesukarelawan di kalangan belia dan beliawanis,” katanya lagi.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|