Bukan ideologi politik tentukan kekuatan negara

Bukan ideologi politik tentukan kekuatan negara

Kota Kinabalu: Ekonomi yang menentukan kekuatan serta kejayaan sesebuah negara, bukannya ideologi politik semata-mata.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Datuk Yong Teck Lee berkata, ia merupakan sebahagian daripada kajian peristiwa global baru-baru ini.

“Kita tidak harus terus berbicara mengenai sumber alam kita yang banyak, keharmonian kaum dan kestabilan politik kita seolah-olah inilah satu-satunya kelebihan kita untuk menjadikan negara kita kuat.

“Sabah juga dapat maju ke depan jika kita dapat memperkuat ekonomi kita dengan secara besar-besaran dalam waktu sesingkat mungkin,” katanya.

Beliau yang juga Presiden SAPP berkata demikian dalam ucapannya kepada perwakilan parti pada persidangan dwitahunannya yang dijalankan secara persidangan video semalam.

Yong menjelaskan bahawa semua pihak harus memberi perhatian lebih kepada keperluan untuk lebih banyak hubungan (connection) dan kesalinghubungan (connectiviti) sebagai aset baru yang mesti dimiliki oleh Sabah dan orang Sabah untuk mewujudkan kekayaan bagi rakyat.

“Secara ringkas, kesalinghubungan bermaksud logistik, hubungan udara, laut dan darat dengan negara lain yang kita perlukan untuk mendapat keuntungan dari perdagangan dan pelaburan antarabangsa.

“Manakala hubungan adalah guanxi (dalam bahasa Cina) atau hubungan dengan orang-orang dari negara lain, terutama jiran kita, yang dapat memberi keuntungan dari segi perdagangan dan pelaburan,”katanya.

Yong dalam pada itu meramalkan bahawa sempadan masa depan Sabah adalah ruang udara dan ruang maritim yang berpotensi besar untuk mencipta kekayaan bagi orang Sabah.

“Tetapi Sabah lemah dalam sektor penerbangan dan maritim”, keluh Yong yang menjelaskan pandangannya mengenai prospek ekonomi Sabah.

“Di sinilah diperlukan idea yang lebih kreatif untuk mengembangkan aset penerbangan dan maritim Malaysia untuk memberi manfaat kepada Sabah,” kata Yong.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|