PRN Melaka: Jadikan PRN Melaka pertandingan dasar – Salleh

PRN Melaka: Jadikan PRN Melaka pertandingan dasar – Salleh

Kota Kinabalu: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diharap menjadi pertandingan dasar dan bukannya pertandingan personaliti di antara semua gabungan parti yang bertanding.

Harapan itu disuarakan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berikutan pertembungan tiga gabungan parti termasuk dua daripadanya sama-sama berada dalam kerajaan di peringkat Pusat.

Ia susulan pengumuman Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), masing-masing meletakkan calon di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

“Nampaknya tiga gabungan (BN, PN dan PH) secara rasmi mengumumkan bertanding di semua kerusi pada PRN Melaka. Ini menunjukkan demokrasi berjalan dengan baik.

“Kita berharap pilihan raya ini akan lebih menumpukan pertandingan dasar, berbanding pertembungan personaliti.

“Paling penting, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) supaya kita dapat meminimumkan risiko berkaitan dengan Covid-19,” katanya dalam perkongsian di laman Facebook.

Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan dan Pengarah Pilihan Raya BN Sabah berkata demikian mengulas mengenai pertembungan di antara BN, PN dan PH pada PRN Melaka.

Penamaan calon bagi PRN itu berlangsung hari ini disusuli kempen selama 12 hari sebelum hari pengundian pada 20 November ini.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada awal bulan lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|