Keselamatan data negara perlu diteliti: Shahelmey

Keselamatan data negara perlu diteliti: Shahelmey

KOTA KINABALU: Tahap keselamatan data negara perlu diteliti dari semasa ke semasa, menurut Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahelmey Yahya.

Beliau berkata, perkara ini sejajar dengan usaha kerajaan dalam membudayakan konsep tanpa kertas dalam perkhidmatan di negara ini.

“Saya menyambut baik usaha kerajaan dalam membudayakan konsep tanpa kertas dalam perkhidmatan sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.

“Sejajar dengan usaha itu, perhatian yang teliti perlu diberi kepada keselamatan siber terutamanya jika ia membabitkan kerjasama dengan pihak asing.

“Ini demi keselamatan negara kerana data dan maklumat merupakan aset penting sesebuah negara” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya hari ini.

Shahelmey juga berkata ancaman siber adalah perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab dan ianya memerlukan pemantauan yang berterusan.

Menurutnya, kesiapsiagaan keselamatan siber ini amat penting kerana ianya memberi kesan kepada ekonomi dan keselamatan negara.

“Ancaman siber ini adalah perkara yang memerlukan pemantauan yang berterusan kerana pihak tidak bertanggungjawab akan sentiasa mencari cara untuk menggodam terutamanya yang membabitkan data dan maklumat penting.

“Ia akan dapat menjejaskan ekonomi negara jika ianya berlaku.

“Kita perlu memastikan kesiapsiagaan kita dalam hal ini di peringkat yang tinggi pada setiap masa” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|