Kota Kinabalu: Pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mula beroperasi hari ini sebagai salah satu usaha membantu meningkatkan imuniti kelompok di negeri ini.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, usaha itu harus dimanfaatkan sebaiknya berikutan kadar penvaksinan di Sabah masih berada pada tahap rendah.
Katanya, ia berikutan, pusat pengajian berkenaan juga mempunyai tenaga pakar seperti doktor dan jururawat untuk membantu masyarakat secara umumnya.
“Ini adalah kerja sukarelawan UMS. Kita mempunyai tenaga pakar seperti doktor dan jururawat yang boleh dimanfaatkan.
“Ini berikutan tahap penvaksinan di Sabah antara yang rendah. Ini adalah usaha terbaik dari pihak UMS untuk membantu negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas selepas menerima vaksin dalam Program Pemberian Vaksinasi Di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) UMS di Kompleks Dewan Kuliah, di sini, hari ini.
Dr Taufiq berkata, PPV UMS mempunyai kapasiti memberi suntikan vaksin sebanyak 1,000 dos suntikan setiap hari.
Namun katanya, pihaknya berharap akan memperoleh jumlah vaksin yang mencukupi untuk diberikan bukan hanya untuk kakitangan tetapi juga pelajar serta masyarakat di kawasan setempat khususnya kawasan Sepanggar.
“Hari ini kita menyasarkan 200 suntikan vaksin dan hari-hari seterusnya. Ia bermakna untuk minggu ini kita sasarkan sebanyak 1,000 suntikan vaksin diberikan.
“Kita juga akan mengusahakan suntikan vaksin kepada sekitar 7,000 hingga 8,000 individu membabitkan pelajar, kakitangan dan ahli keluarga kakitangan,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan perkhidmatan ujian saringan Covid-19 UMS, Taufiq berkata, setakat ini sebanyak 40,000 ujian saringan sudah dijalankan.
“UMS masih melakukan perkhidmatan ujian saringan menggunakan dua makmal kami yang beroperasi sejak April tahun lalu.
“Pembinaan Hospital UMS juga dijangka akan siap pada akhir tahun hadapan,” katanya.
-Deasoka