Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup masuk barang kosmetik

Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup masuk barang kosmetik

Semporna: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk pelbagai barang kosmetik di Perairan Kampung Batu, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 6 petang, semua barangan kosmetik berkenaan dibawa menaiki dua bot dipercayai untuk pasaran tempatan.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, kes berkenaan berjaya dikesan menerusi penugasan Ops Pluto Timur.

Katanya, bot ronda Maritim Malaysia berjaya mengesan 2 bot yang bergerak dalam keadaan yang mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

“Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, dua suspek yang berada di atas bot terbabit bertindak nekad melarikan diri dengan terjun ke laut dan berenang ke arah kawasan hutan bakau berdekatan.

“Pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kotak barangan kosmetik yang dianggarkan bernilai RM18,000 dipercayai diseludup dari negara jiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Semua barangan kosmetik yang dianggarkan bernilai RM18,000 dipercayai dibawa masuk untuk pasaran tempatan.

Norrimi berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin dianggarkan bernilai keseluruhan RM38,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Akta Kastam 1952.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 mengikut Akta Jualan Dadah 1952,” katanya.

Sementara itu, Norrimi berkata, pihaknya turut berjaya menahan bot bersama muatan beberapa tong berisi 475 liter petrol, 11 Jun lalu.

Katanya, bot berkenaan ditahan atas kesalahan memiliki barang kawalan tanpa kebenaran atau lesen yang sah di perairan Pulau Bohayen, Semporna.

“Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, pengendali bot terbabit turut bertindak terjun ke laut melarikkan diri,” katanya.

Sehubungan itu, Norrimi berkata, masyarakat yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau kegiatan jenayah maritim kepada Maritim Malaysia.

Katanya, setiap maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|