Kota Kinabalu: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi (IPT) Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak lagi menerima kehadiran orang ramai secara ‘walk-in’ bagi mendapatkan vaksin Covid-19 mulai 4 Oktober ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, UMS memaklumkan suntikan vaksin hanya diberikan kepada penerima dos kedua melalui temu janji MySejahtera.
“Slot ‘walk-in’ tidak lagi dibenarkan untuk suntikan sama ada dos pertama atau dos kedua.
“Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi hotline PPV IPT UMS di talian 013-8151373,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.
Bagaimanapun, katanya PPV UMS masih beroperasi seperti biasa dari Isnin hingga Jumaat, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.
PPV IPT UMS beroperasi sejak 14 Jun lalu melalui temu janji MySejahtera sebelum membuka slot ‘walk-in’ untuk orang ramai dengan kapasiti sehingga 3,000 dos vaksin sehari.
Sehingga kini, lebih 100,000 dos diberikan melalui PPV berkenaan, selain program jangkauan luar di pelbagai tempat termasuk perkampungan terpencil Penjara Kota Kinabalu dan Pusat Tahanan Sementara (PTS).
-Deasoka