Pemulihan ekonomi menerusi dasar lebih terbuka – TC Goh

Pemulihan ekonomi menerusi dasar lebih terbuka – TC Goh

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri perlu memberikan komitmen kepada kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan dasar pemulihan ekonomi.

Seorang Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) Tan Sri TC Goh berkata, bagaimanapun dalam masa sama, Sabah juga perlu merancang satu polisi dasar tersendiri yang sesuai dengan situasi terkini di Sabah.

Katanya, sebagai contoh, peraturan ekuiti bumiputera sebanyak 51 peratus yang dikenakan ke atas syarikat logistik dengan menghadkan penjualan saham atau syarikat yang hanya berpihak kepada bumiputera.

“Saya rasa kedua-dua polisi ini tidak sesuai dilaksanakan di Sabah yang berbilang etnik dan kaum. Dalam perkara ini, saya menyeru kerajaan negeri supaya dapat melaksanakan dasar ekonomi yang lebih terbuka.

“Kek ekonomi seharusnya diperbesarkan untuk semua golongan masyarakat menerusi usaha sama semua kaum,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Goh berkata, semua pihak seharusnya bersatu padu dan saling menyokong, melengkapi dan menguatkan antara satu sama yang lain.

Katanya, peningkatan perniagaan dan keusahawanan semua kaum secara holistik adalah cara terbaik untuk kemakmuran bersama.

“Sabah mempunyai kelebihan tersendiri yang perlu terus ditambahbaik seperti sektor pelancongan, pertanian dan perhutanan.

“Saya sangat menghargai ketua menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang mengambil sikap terbuka mendengar suara hati rakyat termasuk menubuhkan SEAC untuk melengkapkan usahanya dalam memulihkan ekonomi.

“SEAC adalah satu badan yang mengumpulkan cadangan dari pelbagai bidang dan peringkat sebagai sebahagian darjpada dasar ekonomi dan pemerintahan negeri,” katanya.

Goh berkata, itu adalah amalan demokrasi yang amst menggalakkan dan membuktikan keikhlasan dan keterbukaan kerajaan negeri dalam memacu ekonomi.

Katanya, semua pendapat yang berbeza dan konstruktif yang dikemukakan sebelum ini mendapat respon positif dari kerajaan negeri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|